Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keterangan sendiri tak cukup untuk buktikan keluar Islam - mahkamah syariah

Seorang lelaki yang mahu keluar Islam beberapa tahun lalu tidak mengemukakan keterangan pihak lain bagi menyokong dakwaan dia tidak lagi percaya kepada agama itu, menurut kerajaan dan dua mahkamah syariah.

Menurut tiga pihak itu, keterangan individu 44 tahun itu sahaja tidak cukup.

Tiga pihak itu cuba menentang permohonan semakan kehakiman lelaki itu di mahkamah sivil untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar Islam.

Lelaki itu mendakwa tidak pernah percaya pada Islam dan hanya memeluk agama itu pada 2010 untuk berkahwin dengan seorang wanita Muslim. Mereka bagaimanapun telah bercerai.

Dia berkata masih percaya pada ajaran Kristian dan berminat pada Buddhisme.

Permohonan semakan kehakimannya sekarang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).

Tindakan di mahkamah sivil itu menyasarkan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Berdasarkan pemfailan mahkamah oleh responden pertama, kedua dan ketiga pada 28 April, Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan lelaki itu untuk keluar Islam pada 19 Oktober 2020 kerana dia bergantung pada keterangan sendiri.

Malaysiakini tidak menamakan lelaki yang diwakili oleh tetuan Fahri Azzat & Co itu memandangkan kes ini melibatkan isu sensitif.

Jabatan Peguam Negara, kerajaan dan dua mahkamah syariah dalam kes ini diwakili oleh peguam–peguam kanan persekutuan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan diwakili oleh firma Kamaruzaman Arif & Co. 

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS