Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH mahu teruskan gesa tiga lagi janji dalam MOU
Diterbitkan:  Jul 29, 2022 9:22 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Pakatan Harapan (PH) berkata selepas rang undang-undang antilompat parti diluluskan, kini berbaki tiga lagi janji pembaharuan yang dibuat oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam perjanjian keyakinan dan perbekalan.

Tiga janji tersebut ialah:

- Mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun;
- Membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen; dan

- Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata 15 daripada 18 janji dalam perjanjian antara kerajaan dan pembangkang itu telah pun dilaksanakan.

"Majlis Presiden PH mengambil maklum kenyataan perdana menteri dua hari lalu bahawa satu MOU (perjanjian persefahaman) baharu tidak akan ditandatangani.

"Ini bermakna MOU yang dimeterai pada 13 September 2021 akan terus berkuat kuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MOU.

"Oleh itu, Majlis Presiden PH mengarahkan wakil-wakil PH di dalam Jawatankuasa Pemandu MOU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil-wakil kerajaan bagi membincangkan beberapa perkara di dalam MOU yang masih berbaki, di samping meneliti perkara-perkara yang dinyatakan perdana menteri termasuk berkait pendanaan politik," kata PH.

Dua hari lalu, Ismail Sabri berkata dia berhasrat untuk memperkenalkan lebih banyak pembaharuan seperti undang-undang yang mewajibkan parti politik mengisytiharkan sumber pembiayaan mereka dan memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara.

Kedua-dua isu ini tidak digariskan dalam perjanjian kerajaan dan pembangkang, namun Ismail Sabri berkata terdapat "persefahaman" mengenai perkara ini antara dia dan pemimpin pembangkang.

Sebelum ini, terdapat maklumat salah yang tersebar bahawa perjanjian itu akan tamat tempoh pada 31 Julai.

Sebaliknya, Ismail Sabri dan PH bersetuju dalam perjanjian itu bahawa Parlimen tidak seharusnya dibubarkan sebelum 31 Julai.

Ini bermakna PH masih perlu menyokong rang undang-undang perbekalan (belanjawan) Ismail Sabri dan sebarang rang undang-undang yang bertujuan untuk menguji sokongan perdana menteri di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS