Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir sekali lagi landa Kampung Iboi di Baling
Diterbitkan:  Jul 29, 2022 7:00 AM
Dikemaskini: 11:00 PM

Banjir sekali lagi melanda Kampung Iboi dekat Baling semalam.

Ia merupakan banjir kali kedua selepas bencana yang meragut nyawa dan memusnahkan kediaman di daerah itu awal bulan ini.

Menurut video yang dimuat naik Kosmo di Instagram, arus sungai mengalir deras di Sungai Kupang di kampung itu, selepas hujan lebat kira-kira jam empat petang semalam.

Kawasan sekitar kemudian mula dinaiki air akibat limpahan sungai tersebut, lapor Kosmo lagi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata sebanyak tiga keluarga telah dpindahkan apabila air masuk ke rumah mereka.

Menurut laporan Astro Awani, Timbalan Pengarah JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata anggota penyelamat tiba di tempat kejadian pada pukul lapan malam.

Dia berkata mereka perlu dipindahkan kerana keadaan di situ tidak selamat dengan paras air Sungai Kupang telah meningkat sebanyak 0.8 meter dan mengalir sangat deras.

Sementara itu, ketua kampung Nor Mohamad Husin berkata mereka dalam keadaan berjaga-jaga dan berhubung dengan agensi penyelamat apabila hujan lebat mula turun kira-kira pada pukul 4.30 petang.

Pada 4 Julai lalu, Kampung Iboi dilanda banjir yang turut membawa kayu-kayu balak, menyebabkan sejumlah rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Antara yang terkorban adalah seorang wanita hamil dan ibu mentuanya yang ditemui berpelukan di bawah timbunan pokok. Mayat anak lelaki ibu mentua itu pula ditemui berdekatan.

Menurut Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, secara keseluruhan banjir tersebut menjejaskan 627 mangsa daripada 12 kampung.

Siasatan awal yang dibuat Kementerian Alam Sekitar dan Air mendapati satu kolam takungan bagi projek durian Musang King di Gunung Inas di situ telah pecah.

Projek itu adalah usaha sama antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan Aman Mega Sdn Bhd yang berkaitan dengan syarikat pemaju ECK Development Sdn Bhd.

Laporan penuh siasatan banjir itu dijangka akan siap selewat-lewatnya 4 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS