mk-logo
Berita
Terima kasih MP PAS dan yang se-Sheraton dengannya, kata Mat Sabu
Diterbitkan:  Jul 28, 2022 10:02 PM
Dikemaskini: 11:35 PM

Presiden Amanah, Mohamad sabu mengucapkan penghargaan kepada ahli parlimen PAS yang hari ini mengundi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

"Terima kasih ahli-ahli parlimen PAS dan yang se-Sheraton dengannya.

"Walaupun semalam tanpa rasa bersalah, tanpa rasa malu mereka menyokong Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), tapi hari ini sekurang-kurangnya mereka tak menentang RUU antilompat parti.

"Terima kasih," kata Mohamad yang juga ahli parlimen Kota Raja dalam hantaran Facebook.

Terdahulu Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian dengan 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada menentang, manakala 11 orang tidak hadir.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi walaupun mendapat batahan pembangkang.

Usul dibawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.

Untuk rekod Amanah merupakan parti serpihan PAS dan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum (PRU) pada 2018.

Bagaimanapun, kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan apabila berlaku kemelut politik yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' pada Feb 2020.

Langkah Sheraton merujuk kepada pertemuan 11 ahli parlimen PKR diketuai timbalan presidennya ketika itu Azmin Ali bersama ahli politik dari Bersatu, BN, PAS, GPS dan Warisan di Hotel Sheraton Petaling Jaya.

Kemelut politik itu menyaksikan kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad tumbang dan terbentuknya gabungan politik baru dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN), di mana PAS merupakan sebahagian daripadanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS