Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Bersatu telah diminta tak bahas RUU antilompat parti - Hamzah

Ahli parlimen Bersatu diminta tidak membahaskan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan yang bertujuan melarang ahli parlimen daripada bertukar parti yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat awal hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut) memberitahu pemberita hari ini bahawa parti itu telah memberikan sokongan penuh dalam pindaan perlembagaan berkaitan larangan bertukar parti.

Hamzah membidas mereka yang melabelkan ahli Parlimen Bersatu dengan menggunakan pelbagai analogi seperti "katak politik".

"Sebenarnya rakan-rakan saya mahu berucap dalam dewan tapi saya minta mereka supaya sabar.

"Tapi hari ini semua yang hadir termasuk ahli parlimen Bersatu, kami undi, tunjukkan kami kumpulan yang tahu undang-undang, tahu guna segala undang-undang yang dah termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Bersatu menang 13 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) 2018, namun jumlah itu kini meningkat kepada 30 kerusi.

Hal itu berlaku selepas tercetusnya Langkah Shreton apabila bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali bersama 10 lagi ahli parlimen meninggalkan PKR pada Feb 2020 dalam usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

"Katak paling besar'

Sebelum undian belah bahagi diadakan hari ini, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Dewan Rakyat kedengaran mengejek Azmin Ali (Bersatu-Gombak), yang tidak hadir di Dewan Rakyat.

Ketidakhadiran Azmin menyebabkan Thomas Su Keong Siong (Harapan-Kampar) mengejek “Gombak hilang, katak paling besar.”

Pun begitu Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa Azmin hanya tidak hadir semasa perbahasan RUU itu, namun memasuki Dewan untuk mengundi.

Ahli Parlimen membahaskan RUU itu sejak petang semalam.

Apabila undian belah bahagi diadakan hari ini, seramai 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada yang menentang. Seramai 11 lagi ahli parlimen tidak hadir.

Jumlah itu jauh melebihi keperluan dua pertiga bagi tujuan pindaan perlembagaan.

RUU itu kini akan dibawa ke Dewan Negara. Selepas diluluskan, pewartaannya dijangka dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 Sept ini.

Ciri utama RUU itu bertujuan untuk memperkenalkan Perkara 49A, yang menetapkan bahawa seorang ahli parlimen akan digugurkan sebagai ahli Dewan Rakyat dengan dua syarat:

1) Ahli Parlimen berkenaan "meletak jawatan" daripada atau "berhenti menjadi ahli" parti politik yang dia menjadi ahli semasa dipilih; atau,

2) Ahli Parlimen berkenaan, setelah dipilih semasa menjadi ahli parti politik, menyertai parti politik yang berbeza.

Undang-undang baru itu juga akan terpakai kepada ahli parlimen yang tidak mempunyai keahlian parti semasa dipilih tetapi kemudiannya menyertai parti politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS