Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Ada kala lompat parti perlu untuk tubuh k'jaan stabil

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad berkata beberapa pengecualian perlu diberikan terhadap tindakan ahli parlimen yang melompat parti.

Mahathir berkata walaupun tindakan melompat parti perlu ditegah, dalam keadaan tertentu ia diperlukan bagi membentuk kerajaan stabil melalui penambahan kerusi sesebuah parti.

“Lompatan perlu ditegah. Tapi ada kalanya yang perlu kita ada adalah lompatan kerana dalam pilihan raya tak ada satu parti yang dapat lebih 50 peratus kerusi supaya dirikan kerajaan, yang ada parti kurang 50 peratus.

“Dan dalam keadaan itu, kalau ditubuh juga satu kerajaan minoriti, apabila datang ke Dewan Rakyat, maka kerajaan itu boleh dijatuhkan dengan hanya mengundi usul tidak percaya kerajaan.

“Dalam keadaan itu kita boleh ada PRU sekali lagi, tetapi itu juga tidak akan menentukan (kerajaan yang stabil). Sebab itu ada perlunya lompat parti dibenarkan supaya jumlah ahli cukup untuk menjadi kerajaan dengan majoriti," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika perbahasan menyokong pembentangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

RUU antilompat parti yang dibentangkan pada bacaan pertama minggu lalu memperkenalkan peruntukan yang lebih ketat terhadap ahli parlimen dan Adun.

‘Sepatutnya hilang kerusi jika lompat parti’

Antaranya, Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan akan dipinda agar ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli.

Namun, ahli parlimen yang dipecat daripada parti tidak akan hilang kerusinya.

“Yang ditegah apabila orang lompat, masuk tanpa kelulusan parti dan tak disokong oleh parti.

“Kalau orang itu masuk mana-mana parti, dia akan hilang kerusi. Itu yang sepatutnya berlaku (kerana) satu, dua orang, tiga orang boleh jatuhkan parti apabila bilangan diperlukan tak ramai seperti apa yang berlaku hari ini, di mana sebilangan daripada wakil rakyat parti kerajaan telah lompat masuk dan jatuhkan kerajaan dan parti lawan dapat mendirikan kerajaan.

“Perkara ini patut dijelas dengan cukup jelas bahawa ini tindakan yang tak diizinkan oleh parti dan juga dorongan jawatan ataupun kewangan yang diberikan kepada mereka yang sanggup melompat,” kata ahli parlimen Langkawi itu.

Untuk rekod, beberapa siri keluar parti berlaku sejak pilihan raya umum ke-14 pada 2018, apabila sekumpulan wakil rakyat bertindak keluar dari Umno dan menyertai parti serpihannya, Bersatu setelah BN hilang kuasa di Putrajaya.

Mahathir ketika itu merupakan pengerusi Bersatu dan juga perdana menteri yang dilantik oleh Pakatan Harapan.

Ia kemudian berlaku ketika Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020 apabila sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpihak kepada bekas timbalan presidennya Azmin Ali berpaling tadah dan menyertai Bersatu, untuk membentuk kerajaan baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS