Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: RUU Antilompat Parti bakal londehkan dalang katak politik
Diterbitkan:  Jul 27, 2022 12:02 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antilompat Parti akan mendedahkan dalang sebenar yang menyokong "katak" politik, kata Pemuda Umno Malaysia.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menjelaskan dalang berkenaan akan dikenal pasti jika mereka bertindak menolak cadangan yang akan menyaksikan Perlembagaan Negara dipinda jika RUU tersebut diterima dengan sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata RUU berkenaan - yang mula dibahaskan hari ini - seharusnya disokong dan diluluskan sepenuhnya oleh Dewan Rakyat.

"Pergolakan politik dan ketidakstabilan negara yang berlaku sejak PRU ke-14 lalu menuntut kerajaan bertindak segera bagi memastikan kestabilan ini tidak bergantung kepada tindakan segelintir wakil rakyat yang gemar melompat parti," katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, kelulusan RUU nanti akhirnya akan memberikan keyakinan kepada rakyat sekali gus menghakis kecelaruan yang timbul selama ini.

"Proses ini tidak boleh ditangguh lagi, dan sekiranya ada juga wakil rakyat yang tidak menyokong, maka kita tahulah siapa dalang katak yang sebenarnya, yang melindungi acara lompat katak selama ini," kataya.

Pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 membabtkan peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti dijangka menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut adalah antara pembaharuan parlimen yang dijanjikan oleh kerajaan dsaripada memorandum persefahaman ditandatangani Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan pada 14 Sept 2021.

Perlu diperhalusi Dewan Rakyat

Secara umumnya pemimpin parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sudah menyatakan sokongan mereka terhadap RUU berkenaan.

RUU tersebut sepatutnya dibentangkan pada April lalu namun ditangguhkan selepas kabinet mahu definisi mengenai "lompat parti" diperhalusi dengan sewajarnya.

Asyraf Wajdi berkata RUU berkenaan tidak boleh ditangguhkan lagi bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan sistem demokrasi negara.

"Dalam akta ini dicadangkan untuk membolehkan pindaan Perkara 48 yang berkaitan ‘kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen’ dengan memasukkan elemen sebarang tindakan lompat parti sebagai salah satu faktor hilang kelayakan.

"Perkara ini termasuklah untuk menambah baik perkara 46 (6) iaitu seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat," katanya lagi.

Jelas Asyraf Wajdi, isu berkenaan perlu diperhalusi oleh ahli Dewan Rakyat dan memberikan makna baru terhadap perkara tersebut serta realiti hasrat pengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS