Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sosma: Niat kita baik, bagi polis alat untuk siasat - Nazri
Diterbitkan:  Jul 26, 2022 6:03 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

PARLIMEN | Pembelaan terhadap mangsa merupakan antara perkara yang diambil kira melibatkan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) (Akta 747).

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) berkata polis perlu diberikan “alat” untuk melakukan penyiasatan dalam membela mangsa.

"Polis yang akan menyiasat...kita nak bela mangsa ini, maka pihak polis harus diberikan alat (Sosma) untuk mereka melakukan penyiasatan.

"Saya bukan nak kata saya sokong apa yang telah dilakukan terhadap orang yang disiasat, tidak semata-mata, kalau berlaku kematian dalam siasatan atau jel saya tidak sokong itu.

"Sosma memberikan satu alat kepada pihak polis untuk menyiasat, bukan untuk menyusah ataupun untuk menyalahgunakan kuasa terhadap orang yang ditahan, tidak.

"Kita berniat baik, bagi alat kepada polis untuk menyiasat," katanya ketika membahaskan usul berkenaan.

Subseksyen itu antaranya menyebut: seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.

Turut membahaskan usul itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) berpendapat tempoh penahanan individu sehingga 28 hari membolehkan polis menjalankan siasatan rapi dan mengumpulkan bahan bukti sebelum pihak yang dituduh dihadapkan ke muka pengadilan.

Hal ini katanya kerana kesalahan dibawah Sosma bukan melibatkan jenayah biasa tetapi berkaitan kegiatan keganasan atau sebarang tindakan yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Contoh klasik adalah pencerobohan pengganas asing di Lahad Datu pada 2013 yang lebih 100 orang didakwa di bawah Sosma,” katanya.

Usul yang mendapat tentangan daripada blok pembangkang itu turut dibahas oleh Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang membangkitkan kebimbangan jika usul itu lulus, ia boleh menyebabkan berlakunya salah guna kuasa terutama ketika tempoh seseorang itu direman.

"Oleh kerana dalam masa itu kita dapat banyak aduan pengakuan palsu didapatkan, serangan untuk mendapatkan pengakuan dan sebagainya, jadi tempoh reman itu adalah amat penting.

MP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

"Dalam kes Sosma, reman itu dibenarkan sehingga 28 hari, bayangkan apa yang boleh berlaku dalam masa lebih kurang sebulan itu, bagaimana ia boleh disalah guna…

“Dan kita perlu mengimbangi hak-hak bukan sahaja untuk mangsa tetapi hak selaku tertuduh yang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula mempersoalkan pembelaan terhadap orang ditahan menggunakan SOSMA, yang kemudiannya didapati tidak bersalah.

"Apa perlindungan bagi mangsa dalam keadaan ini (didapati tidak bersalah setelah lama ditahan)?

Apakah pihak berkuasa tidak laksanakan risikan dan siasatan lebih awal daripada bermulanya tahanan itu dibuat," katanya.

Seramai 18 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS