Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan penuh siasatan banjir Baling dijangka siap 4 Ogos - Takiyuddin

PARLIMEN | Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata laporan penuh siasatan mengenai banjir di Baling, Kedah baru-baru ini akan disiapkan selewat-lewatnya pada 4 Ogos.

Takiyuddin (PAS-Kota Bharu) mendedahkan perkara ini di Dewan Rakyat hari ini, sebagai menjawab soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kaedah penyelesaian yang dirancang oleh kementerian bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas, Baling berikutan insiden kepala air baru-baru ini.

Menurut Takiyuddin, kawasan sekitar Gunung Inas masih terdedah kepada bahaya tanah runtuh dan bencana alam lain.

"Siasatan awal KeTSA melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati bahawa kawasan persekitaran Gunung Inas, Kupang, Baling masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batuan berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli diarahkan mengetuai agensi lain bagi menjalankan siasatan terpeinci berhubung kejadian banjir berkenaan.

Takiyuddin berkata, kementeriannya telah menerima arahan daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Ketua Setiausaha Negara mengenai perkara itu.

Kementeriannya turut memberi jaminan bahawa laporan siasatan mengenai kejadian itu sedang disediakan dan akan siap pada 4 Ogos.

Antara Kementerian dan agensi kerajaan yang turut menyiasat kejadian banjir berkenaan ialah Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

Menurut Takiyuddin, satu surat pemakluman rasmi perihal Langkah Kewaspadaan Awam Di Kawasan Tadahan Gunung Inas telah dihantar pada 22 Julai kepada kerajaan negeri Kedah, menyarankan agar kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap zon bahaya dan zon kawalan yang dibangunkan oleh JMG.

Kejadian banjir di Baling yang berlaku pada 4 Julai lalu melibatkan 41 kawasan dan meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS