Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa buku komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Mewakili keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang bersidang, Hakim P Ravinthran menegaskan tiada kejadian tidak diingini berlaku di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku oleh bekas ahli DAP Hew Kuan Yau melalui warta perintah pada 23 Okt 2019.
Hakim memutuskan afidavit menteri dalam negeri - yang memetik 81 laporan polis yang dibuat terhadap buku itu sebagai mendakwa ia boleh menimbulkan perbalahan awam - tidak boleh diterima kerana apa yang diperlukan cuma orang atau kumpulan yang tidak berpuas hati untuk menyekat kebebasan asasi untuk seseorang bersuara.
Ravinthran berkata walaupun menteri itu tidak bersetuju dengan kandungan buku berkenaan - yang menunjukkan tafsiran Hew tentang sejarah, pandangan dunia atau ulasannya mengenai hal ehwal semasa, khususnya mengenai dasar Inisiatif Jalur dan Jalan China dan layanan republik itu terhadap minoriti Islam di Xinjiang - namun ini masih tidak boleh menjadi sebab larangan.
“Kami akan mengulangi bahawa jika dilihat secara objektif, dalam buku itu tidak ada apa-apa yang mengapi-apikan untuk melagakan satu kaum dengan yang lain atau menghina sentimen perkauman atau agama sesiapa atau mencetuskan ketegangan kaum seperti yang didakwa dalam afidavit menteri," kata hakim dalam salinan penghakiman penuh yang dilihat Malaysiakini.
Hakim berkata mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa menteri dalam afidavitnya gagal menunjukkan mana-mana kandungan dalam buku komik itu yang boleh membahayakan kepentingan awam dengan menghasut pergolakan kaum, ketidakharmonian atau rusuhan.
Pada 25 Mei, Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanapiah Farikullah serta ahli panel Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yasin, membenarkan rayuan Hew untuk membatalkan larangan ke atas buku komiknya.
Perayu, yang juga dikenali dengan gelarannya Superman Hew, merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 April 2021, yang menolak semakan kehakimannya terhadap larangan kerajaan.
Permohonan semakan kehakiman berkenaan bertujuan menghentikan perintah larangan oleh menteri dalam negeri dan warta Jabatan Peguam Negara mengenai perintah larangan itu, bertarikh 23 Oktober 2019.
Perintah itu dibuat berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin memutuskan keputusan menteri melarang pengedaran buku itu sah, wajar dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah.
Hakim berkata ini kerana keputusan menteri itu dibbuat setelah memeriksa kandungan buku itu, yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Hew ialah pengarang bersama komik yang diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina.
Larangan kementerian itu merangkumi kesemua tiga versi bahasa.
Buku itu dikatakan mempromosi China dan "Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)" sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.
Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighur di China - yang dikatakan ditahan di "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".
Pada 21 Oktober 2019, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata peranan Malaysia bukannya mempromosikan ideologi China, tetapi meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara.
Mahathir merujuk kepada pengedaran percuma komik tersebut di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di Pulau Pinang yang kemudian dihentikan pengedarannya oleh Kementerian Pendidikan.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan perintah larangan dua hari kemudian.