Peratusan warga Malaysia yang membantah pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah kian meningkat dalam tempoh dua tahun ini.
Ini menurut tinjauan seluruh negara yang dibuat sebuah badan pemikir bagi melihat pandangan awam terhadap dadah dan hasrat mereka ke arah pembaharuan sistem keadilan jenayah bagi kesalahan berkaitan dadah.
Ia dibuat selepas penjatuhan hukuman mati terhadap keldai dadah warga Malaysia yang mengundang perhatian ramai beberapa bulan mutakhir ini.
Menurut tinjauan The Centre yang dibuat April lalu, kurang 20 peratus warga Malaysia menyokong hukuman mati bagi kesalahan besar dadah, berbanding 60 peratus pada 2020.
Tinjauan dibuat secara bersemuka dengan responden dewasa.
Dalam satu forum berkenaan hukuman mati yang dibuat di Kuala Lumpur baru-baru ini, penyelidik The Centre Tham Jia Vern berkata perubahan itu adalah langkah yang baik dapat meningkatkan sokongan terhadap kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati dalam sidang Dewan Rakyat.
Kerajaan dijangka membentangkan sejumlah pindaan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dalam 11 peruntukan undang-undang pada sidang Oktober ini.
Pada Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jika segalanya berjalan mengikut perancangan, pemansuhan hukuman mati mandatori akan bermula seawal Januari depan.
Wan Junaidi berkata kerajaan juga akan mengadakan tinjauan awam untuk mendapatkan maklum balas berkenaan rancangan pemansuhan sebelum pindaan dibawa ke Dewan Rakyat untuk bacaan pertama.
Menurut jawapan bertulis Parlimen pada Februari lalu, terdapat 1,341 pesalah sedang menunggu hukuman mati di Malaysia, dengan 905 kes melibatkan hukuman mati mandatori kerana kesalahan penyeludupan dadah.
Tham berkata hampir separuh responden tidak menyokong penggunaan dadah secara rekreasi.
Namun, katanya lagi, dengan mengambil kira dasar dan sistem keadilan yang tegas terhadap dadah, toleransi orang awam secara relatifnya lebih tinggi daripada yang dijangka.
"Kira-kira 30 peratus responden melihat penggunaan dadah secara rekreasi sebagai boleh diterima.
"Ada keterbukaan yang lebih tinggi terhadap penggunaan dadah terkawal untuk kesihatan berbanding penggunaan secara rekreasi.
"Dalam hal ini, secara umumnya sokongan lebih tinggi untuk penggunaan dadah terkawal untuk menangani isu kesihatan fizikal berbanding kesihatan mental," katanya lagi.
Tinjauan dibuat bermula 3 hingga 11 April itu juga menunjukkan majoriti responden menyokong hukuman seperti khidmat masyarakat dan denda terhadap kesalahan utama.
Kesalahan tersebut termasuk membawa dan mengedar dadah secara sedar, membawa dan mengedar dadah secara tidak sedar, menjual dan juga memiliki dadah dalam jumlah yang besar.
Kata Tham lagi, walaupun warga Malaysia diketahui bersikap konservatif terhadap penggunaan dadah, mereka mempunyai padangan empati terhadap ketagihan dadah, menunjukkan kesedaran sekitar perkara itu.
"55 hingga 57 peratus responden secara amnya empati terhadap kalangan yang ketagih dengan dadah terkawal, dan melihat penagihan dadah sebagai satu penyakit dan dicetuskan trauma.
"Seramai 62 peratus responden berpandangan penting untuk menerima bekas penagih ke dalam masyarakat," katanya lagi.
Hukuman mati untuk warga asing
Namun, tinjauan itu menunjukan sokongan lebih tinggi bagi hukuman mati untuk kesalahan utama dadah dalam situasi tertentu, misalnya jika ia melibatkan warga asing.
Dia berpandangan ia disebabkan kurangnya penerimaan orang ramai terhadap warga asing dan pekerja migran.
"Warga Malaysia cenderung untuk ada persepsi berbeza terhadap warga asing.
"Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2020, 83 peratus responden berpandangan kadar jenayah meningkat di Malaysia ekoran kemasukan warga asing," katanya.
Melangkah ke hadapan, Tham mencadangkan program advokasi dijalankan bagi membantu membendung masalah penyeludupan dadah.
"Kita perlu menguatkan gesaan untuk suasana yang lebih rehabilitatif untuk orang yang menggunakan dadah di Malaysia.
Hasilnya termasuk mengubah pemikiran awam terhadap pengguna dadah dan penyampaian mesej yang lebih berbelas ihsan oleh pihak berkuasa dan media bagi isu berkaitan dadah."
Dia juga menyuarakan harapan agar menteri yang terlibat boleh merangka kaedah tidak berbentuk hukuman bagi menangai isu dadah di negara ini.