Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Penerangan Umno Malaysia Shahril Hamdan dan bekas setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan menafikan mereka menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Dalam satu kenyataan hari ini, Shahril juga berkata dia tiada sebarang pengetahuan berkenaan buku lejar milik UKSB yang mengaitkannya.

"Saya menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

"Malah, saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yg kononnya mengandungi nama 'S Pat' mahupun kandungan lejar tersebut.

"Saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini," katanya.

Ketika perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, saksi penting pendakwaan, David Tan Siong Sun, Shahril dirujuk sebagai S Pat dalam buku lejar UKSB.

Peguam Zahid juga menyoal Tan berhubung beberapa masukan dalam lejar UKSB. Tan kemudian berkata masukan itu merekodkan sumbangan politik kepada Shahril (RM1.162 juta), Ong (RM922,820) dan bekas Timbalan Presiden MCA Chan Kong Choy (RM7.85 juta).

Dalam pada itu, Ong memberitahu Malaysiakini yang dakwaan terhadapnya adalah tidak adil dan pihat yang membuat dakwaan itu perlu menunjukkan semua bukti dan perincian kepada awam dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

"Pertamanya, saya nafikan dakwaan ini sepenuhnya. Perlu ada bukti. Anda tak boleh hanya kata anda bayar orang. Anda perlu maklumat seperti kaedah pembayaran dan bila ia dibuat.

"Nyatakan dengan jelas dan kemudian serahkannya kepada SPRM. Anda tak boleh hanya kata 'say bayar anda RM1,000'. Bila ia berlaku? Bagaimana ia berlaku? Tolong laporkan ini (dalam artikel anda).

"(Jika saksi di mahkamah) telus dan telah maklumkan kepada SPRM, maka tiada masalah. Saya akan beri kerjasama. Jika tidak, ini tak adil (kepada saya). Saya percaya dakwaan ini tidak berasas," kata Ong.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Tan dan kakitangan UKSB lain yang memberi keterangan menyatakan barisan ahli politik yang dinamakan dalam lejar tersebut, iaitu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, Presiden Parti Cinta Sabah Anifah Aman dan pemimpin Umno seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Reezal Merican Naina Merican.

Baca: PANDUANKINI l Kenali mereka yang dicatat dalam lejar UKSB


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS