Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pinda perlembagaan agar AG dapat dipertanggungjawabkan'
Diterbitkan:  Jul 25, 2022 3:04 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Lim Kit Siang berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam saman fitnah Apandi Ali terhadapnya menunjukkan ada keperluan untuk meminda perlembagaan agar peguam negara dapat dipertanggungjawabkan atas keputusan yang dibuatnya.

"Penghakiman saman fitnah Apandi terhadap saya menunjukkan dia adalah peguam negara paling teruk dalam sejarah Malaysia.

"Ia juga menunjukkan keperluan untuk satu pindaan perlembagaan agar peguam negara dapat dipertanggungjawabkan dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya, jika satu perempat daripada ahli parlimen membuat usul untuk mendesak agar keputusannya disemak di Parlimen.

"Untuk merealisasikan perkara ini, Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Tetap Dewan Rakyat perlu dipinda," katanya dalam kenyataan hari ini.


Baca: Hakim: Apandi nampak tak berminat, beri kenyataan bertentangan isu 'derma' RM2.6b


Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim, dan memutuskan Lim ada justifikasi untuk menggesa Apandi menjelaskan mengapa dia pada 2016 membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang kesalahan berkaitan 1MDB.

Lim berkata hakim Azimah Omar dalam penghakiman sebanyak 100 halamannya juga membangkitkan kuasa "tak boleh diadili" (non-justiciability) dan "tak boleh disemak" (non-reviewability) dimiliki peguam negara.

Azimah berkata Apandi bergantung kepada keputusan mahkamah dalam kes Bar Malaysia v Peguam Negara Malaysia & Anor (2016) untuk berhujah yang tiada pihak yang boleh memeriksa atau mempersoalkan keputusan dan prerogatifnya ketika menjadi peguam negara.

Namun Azimah berkata langkah Apandi untuk bergantung kepada kes itu "sangat tidak kena" (sorely misplaced) memandangkan semakan kehakiman itu diputuskan atas dasar teknikal dan bukan merit.

Dia juga berkata aspek "tak boleh diadili" dan "tak boleh disemak" dalam prerogatif peguam negarai "bukan bermaksud apa-apa larangan terhadap komentar, siasatan, dialog atau penelitian awam" dan dia tidak boleh "menggunakan keputusan itu sebagai perisai untuk...bertindak bebas tanpa hukuman".

Lim juga berkata perkara lain yang dibangkitkan Azimah dalam penghakimannya menunjukkan lagi yang Apandi adalah peguam negara paling teruk dalam sejarah Malaysia.

Lim merujuk kepada penghakiman yang membagkitkan keputusan "membingungkan untuk membersihkan Najib dan menerima naratif derma yang tidak dibuktikan", tindakannya "menutup siasatan walaupun tanpa pengesahan wajar terhadap sebrang bukti dan perkara sebenar berkenaan derma hebat oleh kerabat diraja Saudi yang tidak dinamakan, dan ketika sedar yang RM42 juta dipindahkan daripada akaun SRC ke akaun peribadi Najib", dan keengganannya "untuk menerima mahupun saling menawarkan bantuan perundangan dengan peguam negara Switzerland dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menyiasat skandal 1MDB".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS