Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan LTAT berpiket tuntut tunggakan pelarasan gaji

Lebih 100 kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berpiket hari ini setelah kecewa dengan pihak pengurusan yang didakwa mereka tidak melayan pelbagai tuntutan dan isu yang dibangkitkan.

Perkembangan itu hadir selepas lebih dua tahun pengurusan LTAT enggan membayar tunggakan pelarasan gaji melalui semakan semula skim gaji dan skim perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2020.

Presiden Kesatuan Kakitangan LTAT (KKLTAT) Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah memberitahu pemberita, piket hari ini akan terus diadakan setiap hari sehingga Jumaat.

Katanya mereka berpiket mulai jam 1 tengah hari sehingga petang.

Piket itu diadakan di hadapan Bangunan LTAT di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur turut dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani.

Zulharith berkata piket berkenaan diadakan untuk menarik perhatian pihak pengurusan LTAT yang tidak melayan tuntutan dan isu yang dibangkitkan oleh kesatuan terbabit dengan tidak memberi jawapan konkrit serta tidak berpihak kepada pekerja.

"Piket adalah jalan yang terbaik untuk menyedarkan pengurusan LTAT bahawa KKLTAT berperanan dan berfungsi bukan untuk kepentingan peribadi tetapi memperjuangkan kebajikan pekerja yang telah diketepikan.

"Pihak pengurusan LTAT tidak membuat perbincangan atau rundingan bersama dan mengetepikan segala pandangan KKLTAT dalam tuntutan-tuntutan yang dibangkitkan," katanya.

Menurut Zulharith usaha pihak pengurusan membatalkan piket hari ini tidak berjaya selepas kesatuan tidak bersetuju dengan tawaran-tawaran yang diberikan.

Katanya kira-kira jam 11 pagi tadi pengurusan LTAT mengadakan pertemuan dengan mereka dan membuat beberapa tawaran agar piket berkenaan dibatalkan.

Bagaimanapun kata Zulharith KKLTAT menolak tawaran berkenaan kerana ia merupakan penyelesaian bersifat sementara saja.

"Maka, kami mengambil keputusan untuk meneruskan piket," katanya.

Sementara itu, Mohd Effendy selaku wakil MTUC berkata pengurusan LTAT perlu mengambil kira kebajikan kakitangannya.

"Saya percaya inilah sebab mengapa perdana menteri baru-baru memberi kenyataan bahawa semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) perlu melantik wakil MTUC sebagai ahli lembaga pengarah dalam usaha menambah nilai kepada ketelusan.

"Sekiranya pihak pengurusan gagal menunaikan tuntutan kakitangan LTAT sebelum Jumaat ini, MTUC akan membawa perkara ini kepada perdana menteri," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas LTAT berkaitan tuntutan dalam piket hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS