Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP tuntut Tajuddin mohon maaf kerana mencarut dalam parlimen
Diterbitkan:  Jul 25, 2022 1:52 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Kasthuri Patto (PH - Batu Kawan) menuntut Tajuddin Abdul Rahman (BN - Pasir Salak) memohon maaf dan menarik balik penggunaan perkataan lucah di dalam Dewan Rakyat minggu lalu, ketika mikrofonnya ditutup. 

Dalam surat rujuk kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, Kasthuri turut menyenaraikan beberapa ahli parlimen yang menyaksikan insiden tersebut. 

Difahamkan, kekecohan yang berlaku pada 20 Julai itu terjadi selepas Tajuddin didakwa mengeluarkan kata-kata menghina terhadap ahli Parlimen wanita DAP.

“Saya ingin membawa perhatian Tan Sri Yang di-Pertua kepada insiden hitam yang berlaku pada hari Rabu 20 Julai 2022 di Dewan Rakyat di mana ahli parlimen Pasir Salak YB Tajuddin Rahman telah mengeluarkan kata-kata lucah yang disaksikan oleh beberapa ahli parlimen apabila mikrofonnya ditutup. 

Kasthuri Patto

“Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua, saya amat kecewa dan terkilan dengan keputusan awal Timbalan Yang di-Pertua (Rashid Hasnon) apabila YB Pasir Salak mengatakan bahawa ahli parlimen wanita dari DAP ‘tidak senonoh’. 

“Selepas ramai ahli parlimen mambantah kelakuan YB Pasir Salak yang menghina ahli parlimen wanita DAP, Timbalan Yang di-Pertua telah memutuskan melalui satu petua atau ruling, dengan hanya sekadar amaran sahaja,” katanya dalam surat tersebut. 

Menurut Kasthuri, amaran Rashid diperlekehkan dan tidak diendahkan oleh Tajuddin apabila bangun dari tempat duduk dan mengeluarkan kata lucah p*****k sebanyak tiga kali terhadap ahli parlimen pembangkang. 

Malah, katanya meskipun Tajuddin berkali-kali diminta untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataannya itu, dia masih melakukan perkara yang sama di Dewan Rakyat. 

Kasthuri menyenaraikan sembilan anggota parlimen yang menjadi saksi ketika Tajuddin mengeluarkan kata-kata kesat itu.

Mereka ialah RSN Rayer (PH - Jelutong), Wong Shu Qi (PH - Kluang), Ahmad Fadhli Shaari (PAS - Pasir Mas), Hannah Yeoh (PH - Segambut), S Kesavan (PH - Sungai Siput), Tek Kok Lim (PH - Taiping), Cha Kee Chin (PH - Rasah) dan Maria Chin Abdullah (PH - Petaling Jaya). 

“Tan Sri Yang di-Pertua, ini bukan kali pertama YB Pasir Salak mengeluarkan kata-kata ‘unparliamentary’ di dalam Dewan Rakyat dan beliau pasti akan mengulangi kelakuan terkutuk ini di masa akan datang lagi selagi tidak diambil tindakan tegas oleh Tan Sri Yang di-Pertua. 

“Maka, saya berharap, menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Tan Sri Yang di-Pertua akan menggunakan kuasa sebagai Yang di-Pertua untuk meminta YB Pasir Salak untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan seksis terhadap ‘ahli parlimen wanita DAP tidak senonoh’ dan menggunakan kata-kata lucah ’p*****k’ dalam Dewan yang Mulia ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Kasthuri memohon Azhar meneliti semula surat permohonannya pada16 Julai 2020 berhubung cadangan pindaan Peraturan Mesyuarat 36  berkaitan penggunaan perkataan seksis, rasis atau menyinggung perasaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS