Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang pemuda dihukum denda RM10,000 dan enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghina agama.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah kepada Syaidinar Abu Bakar, 36, di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, Syaidinar didakwa dengan secara sedar memuat naik rakaman video yang bersifat jelik dengan niat menghina Islam di Facebook kira-kira jam 6 petang pada 17 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duannya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Wan Nurul Hanini memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap Syaidinar dengan mengambil perbuatan itu bukan sahaja perlu jadikan pengajaran oleh tertuduh, malah buat masyarakat awam.

Tertuduh yang juga seorang penganggur pula semasa diberi peluang merayu, memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah kemudiannya memutuskan Syaidinar didenda RM10,000 dan enam bulan penjara. Jika dia jika gagal membayar denda, hukuman penjara tambahan selama enam bulan akan dikenakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS