Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hakim: Apandi nampak tak berminat, beri kenyataan bertentangan isu 'derma' RM2.6b
Diterbitkan:  Jul 23, 2022 11:08 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Mahkamah mendapati bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali kelihatan tidak berminat dan adakala memberi kenyataan bertentangan dalam keterangannya untuk saman fitnah terhadap Lim Kit Siang.

Dalam penghakiman sebanyak 100 halaman yang dikeluarkan Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan amat jelas bahawa Apandi menunjukkan sikap tidak berminat dan tidak kisah terhadap kedaulatan undang-undang yang asas dan malah akal yang wajar (common sense).

Perkara itu dilihat hakim Azimah Omar ketika Apandi berulang kali disoal oleh peguam Lim berhubung tindakan membersihkan Najib Razak daripada kesalahan, dengan menerima hujah yang wang RM2.6 bilion yang diterima bekas perdana menteri itu adalah daripada kerabat diraja Arab Saudi.

"Walaupun dengan penuh hormat, mahkamah perlu menyatakan rasa cemuh terhadap keterangan bertentangan oleh plaintif, sikap mengelak dan kenyataan tidak benar.

"Ia bukanlah sains roket untuk memahami isu RM2.6 bilion (yang diisytihar Apandi sebagai derma) adalah teras kepada kesnya sendiri.

"Ia satu kelalaian besar jika plaintif menggunakan kesempatan di mahkamah, tanpa benar-benar berterus-terang dan bersedia sepenuhnya untuk menjustifikasikan keputusannya memilih naratif derma untuk membebaskan Najib," kata hakim seperti dipetik The Edge.

Apandi Ali ketika menjadi peguam negara

Dalam penghakimannya, Azimah juga berkata Apandi juga memberi keterangan bertentangan dengan kenyataan sebelumnya ketika ditanya peguam berkenaan sidang medianya pada 2016, di mana dia menerima naratif derma dan membersihkan Najib daripada kesalahan.

Azimah membangkitkan yang SPRM dan pasukan petugas lain telah mengesyorkan pendakwaan jenayah dibuat, atau sekurang-kurangnya siasatan medalam terhadap "derma cukup besar" dan SRC International Sdn Bhd.

Dia juga membangkitkan yang Apandi telah berkata bahawa SPRM sendiri telah berjumpa dan merakam kenyataan pihak yang memberi derma itu.

‘Kenapa Apandi berkata tidak benar?’

Namun, ketika pemeriksaan balas, Apandi mengakui bahawa delegasi SPRM tidak berjumpa mahupun bercakap dengan pihak yang didakwa sebagai penderma, dengan berkata "putera raja Aran Saudi enggan berjumpa sesiapa", katanya.

Azimah berkata ia bertentangan dengan kenyataannya ketika sidang media tersebut, di mana dia mengumumkan delegasi telah pergi ke Riyadh dan bertemu dengan pihak yang dikatakan penderma.

"Kenapa Apandi berkata tidak benar tentang pertemuan dan rakaman keterangan oleh pihak didakwa sebagai penderma?

"Mengapa bekas peguam negara mengisytiharkan kepada dunia yang delegasi bertemu penderma (dan mendapatkan pengesahan daripadanya), walaupun dia tahu yang delegasinya tidak bertemu atau bercakap pun dengan (penderma)?

"Mahkamah benar-benar bingung dengan keterangan plaintif yang mengakui mengambil naratif derma secara keseluruhannya, walaupun tanpa bukti langsung dan lebih cenderung kepada bukti khabar angin delegas.

"Di situ jelas keterangan Apandi sendiri menunjukkan sikap tidak berminat, mengelak dan berlepas diri (disassociate) untuk menyiasat derma dengan lebih lanjut," katanya lagi.

Azimah juga menegur Apandi kerana gagal mengingati nama individu dari keluarga diraja Saudi yang didakwa membuat derma tersebut, yang menurutnya adalah maklumat penting dan mengabsahkan kenyataan yang dibuat Lim terhadapnya.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman sivil tersebut, memutuskan Lim mempunyai keabsahan dalam kenyataannya menggesa Apandi menjelaskan mengapa dia membersihkan Najib daripada kesalahan berkaitan 1MDB pada 2016.

'Lim ada justifikasi'

Saman Apandi berhubung artikel bertajuk "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity" yang diterbitkan Lim di blognya pada 2019.

Azimah berkata Lim ada justifikasi untuk membangkitkan isu tersebut, terutama susulan sabitan terhadap Najib dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.

Mahkamah ketika itu mengarahkan Apandi membayar RM80,000 sebagai ganti rugi kos kepada Lim.

Menyentuh penghakiman terhadap sabitan Najib pada 2020, Azimah berkata dia tidak berhasrat untuk membuat litigasi semula ke atas fakta kes tersebut.

"Tetapi ia di bawah kuasa mahkamah ini untuk mengambil kira fakta-fakta ini," katanya.

Azimah juga mempersoalkan keputusan Apandi untuk mengklasifikasikan kertas siasatan terhadap Najib sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), susulan sidang medianya di mana dia mengumumkan dia tidak berhasrat menghalang sebarang siasatan lanjut daripada mana-mana agensi.

"Mahkamah cenderung untuk bersetuju bahawa NFA bermakna Apandi telah menutup siasatan. Bagaimana dia boleh menegaskan yang siasatan ditutup apabila dia sudah mendapat kesimpulan yang Najib tidak melakukan kesalahan dan menerima naratif derma?

"Saksinya (Apandi) sendiri memberi keterangan yang plaintif bertegas untuk menamatkan siasatan, walaupun pasukan petugas mencadangkan siasatan diteruskan," katanya lagi.

Pada 5 Julai 2019, Apandi memfailkan saman sivil terhadap Lim atas dakwaan menulis artikel berunsur fitnah.

Dia mendakwa artikel itu antara lain membayangkan dia terlibat dengan skandal 1MDB, seorang individu yang tiada integriti dan moral, tidak beretika, dan menyalahgunakan kuasa ketika menjadi peguam negara.

[Baca berita asal]

Baca penghakiman penuh di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS