Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjana Kerjaya: NGO serah 'bukti' pada SPRM, gesa seorang menteri disiasat
Diterbitkan:  Jul 22, 2022 8:46 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Sebuah NGO membuat laporan dan menyerahkan apa yang didakwa sebagai bukti kepada SPRM berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) Mani Maran Manickam menyerahkan dokumen tersebut di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Mani Maran berkata selain individu daripada syarikat, beberapa pemimpin parti termasuk seorang menteri yang didakwanya sebagai dalang juga perlu disiasat.

"Setakat ini, apa yang kami nampak SPRM hanya menyiasat dan menahan individu-individu yang berkaitan dengan syarikat yang didakwa menyelewengkan dana.

"Namun beberapa individu termasuk beberapa pemimpin parti politik dari parti tertentu masih 'tidak disentuh'.

"Kami nak mereka semua termasuk seorang menteri disiasat," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut.

Bagaimanapun, Mani Maran tidak menamakan mana-mana pemimpin parti atau menteri secara khusus.

Menurut Bernama, pada 14 Julai lepas SPRM telah menahan 37 individu menerusi Op Hire bagi membantu siasatan isu ini.

Setakat 20 Julai lalu, seramai 45 individu telah ditahan bagi membantu siasatan SPRM.

Mani Maran berkata pihaknya telah menyerahkan nama-nama yang dimaksudkan kepada SPRM.

"Kami sangat pasti beberapa pemimpin dari sebuah parti politik mempunyai peranan besar dalam penyelewangan ini. Kini terserah kepada SPRM sama ada memanggil mereka untuk membuat siasatan," dakwanya.

Mengulas lanjut, dia berkata bukti yang diserahkan hari ini adalah berdasarkan aduan individu yang ditipu melalui program Penjana Kerjaya.

"Kami menerima lebih 30 aduan setakat ini. Dan lebih 30 lagi telah menghubungi kami berkata telah ditipu.

"Modus operadi adalah individu-individu ini didaftar oleh syarikat-syarikat tertentu dengan janji akan menerima RM600 sselama enam bulan.

"Tapi, mereka hanya terima wang selama tiga bulan sahaja. Bakinya dituntut daripada Perkeso tetapi tidak dibayar kepada mereka," dakwanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS