Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Drebar disiasat bawa Orang Asli ke himpunan depan DUN Perak

Polis memanggil pemandu bas yang membawa Orang Asli dari Bidor ke Bangunan Perak Darul Ridzuan baru-baru ini.

Difahamkan rombongan Orang Asli itu hadir himpunan majlis penyerahan memorandum mengenai aktiviti pembalakan di Perak.

Bagaimanapun, Adun Sungkai A Sivanesan menyoal kewajaran pihak polis memanggil pemandu bas itu untuk membantu siasatan mengenai perhimpunan di hadapan bangunan DUN Perak itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sivanesan yang juga peguam mewakili Orang Asli berkenaan menyifatkan kaedah siasatan polis itu sebagai 'sangat pelik'.

"Memanggil penganjur atau hadirin untuk disoal siasat adalah perkara biasa. Panggil saya selaku peguam juga diterima.

"Tapi, apa kena-mengena dengan pemandu bas yang hanya menyediakan perkhidmatan bas Orang Asli ini membawa ke tempat himpunan.

"Adakah polis akan siasat juga KTM atau syarikat-syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas awam di sekitar Ipoh, sekiranya Orang-Orang Asli ini menggunakan perkhidmatan mereka untuk sampai ke himpunan ini.

"Saya percaya tindakan polis ini satu jenis ugutan terhadap syarikat bas itu supaya tidak lagi menyediakan perkhidmatan kepada Orang Asli ini menghadiri ke mana-mana himpunan pada masa depan," katanya.

Dia berkata demikian ketika mengulas siasatan polis terhadap insiden lebih 1,000 Orang Asli menyerahkan memorandum bantahan berhubung cadangan aktiviti pembalakan di kawasan seluas 80 hektar di Kompartemen 22, Hutan Simpan Bukit Tapah pada Isnin lalu.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Besar Perak Saarani Mohamad yang diwakili Pegawai Khas, Azlan Aminuddin.

Mereka dari Kampung Chang Lama, Kampung Chang Baru dan Kampung Senta, Bidor.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS