Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan supaya parlimen menggubal undang-undang yang mengenakan hukuman "yang sangat keras" terhadap pesalah yang mendera kanak-kanak.
“Seseorang yang menyeksa kanak-kanak bukan sahaja tidak layak untuk hidup di alam manusia, bahkan tidak layak untuk hidup di alam binatang.
“Orang seperti itu hendaklah dinyahkan dari bersosial kerana tidak layak untuk hidup dalam mana-mana masyarakat pun,” katanya pada satu hantaran di media sosialnya hari ini.
Meskipun tidak menyebut secara terperinci kes yang dimaksudkannya, kenyataannya itu hadir di tengah-tengah perbicaraan kes mahkamah yang melibatkan remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung 29 Ogos ini.