Jenaka dan kata-kata dua exco Pahang mempertahankan perkahwinan kanak-kanak yang dibuat ketika sidang DUN pada 2018, kini dibangkitkan semula.
Ia selepas Adun Ketari Young Syefura Othman membangkitkan hansard sidang yang merakamkan pemimpin Umno Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Sharkar Shamsudin membuat jenaka terbabit ketika dia mengecam perkahwinan gadis berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.
Tangkap layar hansard tersebut kini tular di media sosial selepas Young Syefura merujuk hansard tersebut ketika mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah kerana menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.
"Pada 2018, saya telah membahaskan isu ini di dalam ucap tama saya di sidang DUN Pahang. Malangnya ia dijadikan bahan jenaka dan ejekan.
"Saya masih lagi teguh dengan pendirian bahawa had umur perkahwinan bagi perempuan perlu dinaikkan demi melindungi setiap anak-anak perempuan di Pahang dan menjamin masa depan yang lebih baik buat mereka," katanya dalam hantaran di Facebook.
Syed Ibrahim kini merupakan exco hal ehwal agama Islam dan pendidikan, manakala Sharkar adalah exco pelancongan, kebudayaan, alam sekitar, perladangan dan komoditi.
Ketika kenyataan itu dibuat, Syed Ibrahim adalah exco dakwah dan tugas-tugas khas, manakala Sharkar memegang jawatan yang sama sejak 2018.
Menurut hansard tersebut, Syed Ibrahim berkata perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dan gadis berusia 11 tahun itu adalah untuk mengelakkan mereka daripada "melakukan sesuatu yang melampaui batas".
Young Syefura menjawab adalah tidak munasabah untuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun melakukan perkara tidak senonoh ketika dia "masih bermain dan menonton kartun".
Syed Ibrahim menjawab dengan berkata: "Bermain-main tu lah."
Adun Kerdau itu dirakamkan ketawa dengan gurauan ini, dipercayai ekoran 'main' adalah istilah yang digunakan dalam perbualan untuk merujuk kepada hubungan seksual.
Dia seterusnya berkata adalah lebih baik gadis itu berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun daripada membenarkan mereka melakukan hubungan seks terlarang "dan terpaksa menggunakan... kondominium".
Ini adalah satu lagi jenaka untuk merujuk kepada kondom.
Menurut hansard, hhli-ahli DUN ketawa dengan gurauan tersebut.
'Orang dewasa tak patut tertarik dengan kanak-kanak'
Bagaimanapun, Syed Ibrahim seterusnya berkata dia tidak bergurau apabila menegaskan lebih baik gadis berusia 11 tahun melakukan hubungan seks dengan lelaki berusia 41 tahun dalam perkahwinan berbanding di luar perkahwinan, yang merupakan satu dosa.
Young Syefura kemudian menjawab dengan mengatakan tidak patut ada risiko hubungan luar nikah antara lelaki dewasa dengan anak-kanak perempaun memandangkan orang dewasa tidak sepatutnya ada perhubungan seksual mahupun tarikan seksual terhadap kanak-kanak.
Dia juga membangkitkan lelaki berusia 41 tahun itu dilaporkan mempunyai minat terhadap gadis itu sejak dia berumur tujuh tahun.
"Bolehkah ahli yang berhormat di sini menerimanya jika orang dewasa tertarik secara seksual kepada anak anda yang berumur tujuh tahun?" soalnya.
Sharkar kemudian mencelah dengan bertanya sama ada Young Syefura boleh menerimanya jika anaknya seorang homoseksual.
Perbahasan berlanjutan dan selepas Young Syefura menggariskan kesan buruk bagi kanak-kanak perempuan yang berkahwin sebelum dewasa, Syed Ibrahim menjawab dengan berkata Pahang tidak berkempen untuk perkahwinan kanak-kanak.
“Kalau boleh, kita mahu anak-anak terpelajar, berstatus sewajarnya dan kehidupan yang baik.
"Tetapi dalam kes terpencil, seperti yang disebut oleh Ketari, kita tidak boleh memberitahu mereka supaya tidak berkahwin dan sebaliknya menggunakan kondom.
“Kita perlu mengambil kira keadaan berbeza supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk.
"Ia boleh menjadi lebih teruk dan akan lebih menyusahkan anak, keluarga dan masyarakat (jika dia tidak berkahwin), jadi, dalam kes tertentu, kita perlu mempertimbangkan bagaimana keluarga boleh dilindungi dengan betul," tambah Syed Ibrahim.
Tangkap layar hansard sidang DUN itu dikongsi oleh akaun Twitter @inforakyatbiasa dan setakat ini telah diciap semula lebih 2,400 kali dan ditanda "suka" lebih 1,300 kali.
“Retweet untuk menunjukkan bantahan anda terhadap dua Adun BN Pahang yang mengejek Young Syefura apabila dia membangkitkan isu perkahwinan bawah umur di DUN Pahang.
"Baca Hansard. Memualkan!" kata ciapan itu.
Sebagai tindak balas, ramai pengguna Twitter mengecam mereka dan berkata hanya pedofil dan "pembela rogol" akan menyokong perkahwinan kanak-kanak.
Mereka juga mengutuk kalangan yang ketawa terhadap jenaka Syed Ibrahim.
Sementara itu Kedah kini menetapkan umur 18 tahun sebagai umur perkahwinan minimum.
Pada 18 Julai lalu, DUN Kedah meluluskan pindaan terhadap enakmen untuk menaikkan had umur perkahwinan minimum wanita Islam daripada 16 kepada 18 tahun.
Bagaimanapun, gadis Islam berumur bawah 18 tahun yang ingin berkahwin boleh berbuat demikian sekiranya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah.
Data daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) merekodkan 1,856 kanak-kanak di Malaysia telah berkahwin pada 2018, di mana 90 peratus daripadanya adalah perempuan.
Antara 2007 hingga 2017, kira-kira 15,000 kes perkahwinan kanak-kanak direkodkan.
Perkahwinan kanak-kanak paling tinggi direkodkan berlaku di Kelantan, Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar.
Perkahwinan kanak-kanak bukan sahaja berlaku dalam masyarakat Islam. Di Sabah dan Sarawak, kanak-kanak bumiputera bukan Islam telah direkodkan berkahwin mengikut adat resam.
Dari 2017 hingga 2020, 1,138 kes "perkahwinan adat anak" direkodkan di Sarawak, lapor New Sarawak Tribune.
Pada 2020, kerajaan Warisan Sabah mengumumkan rancangan untuk meminda Enakmen Mahkamah Anak Negeri bagi menghalang perkahwinan kanak-kanak.