Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Rafizi ketuai pasukan 'perang pilihan raya' PKR
Diterbitkan:  Jul 21, 2022 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata timbalannya yang baru, Rafizi Ramli akan mengetuai "pasukan pilihan raya" dalam persediaan parti itu untuk menghadapi PRU15.

Dia berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam tadi.

"Kita yakin insya-Allah dapat mengangkat martabat dan kedudukan PKR dan PH. Untuk itu, saya telah mencadangkan agar Rafizi selaku timbalan presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini.

"Dia akan diberikan wewenang untuk bergerak secepat mungkin bagi memperkuat jentera pilihan raya parti," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Anwar berkata Rafizi juga akan dibantu naib-naib presiden serta Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh.

Bekas ahli parlimen Pandan itu menjadi timbalan presiden setelah menewaskan Saifuddin Nasution Ismail dengan perbezaan 16,688 undi.

Berbeza dengan Saifuddin, Rafizi jelas menolak strategi "khemah besar" yang merangkumi parti pembangkang di luar PH - termasuk Bersatu dan Pejuang - bagi menghadapi BN dalam PRU akan datang.

Sepanjang kempen pemilihan, dia juga meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang akan mengambil kedudukan lebih tegas di tengah-tengah tekanan daripada sekutu PKR berhubung strategi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS