Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU antigangguan Seksual: Azalina bantah ketua setiausaha jadi 'polis moral'

PARLIMEN | Azalina Othman Said (BN-Pengerang) hari ini membantah pelantikan Ketua Setiausaha Kemneterian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai Pentadbir Khas Anti Gangguan Seksual di bawah Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual 2021.

Azalina, dalam perbahasannya, berhujah bahawa cadangan pelantikan itu berisiko menjadikan seorang individu sebagai "penguat kuasa moral" terhadap gangguan seksual, situasi yang boleh dicabar melalui undang-undang di bawah undang-undang pentadbiran.

"Saya tidak pernah melihat di mana-mana bahagian dunia di mana wujud jawatan pentadbir (terhadap gangguan seksual).

“Ini tidak boleh diterima kerana bagaimana boleh ada seorang individu iaitu ketua setiausaha (kementerian) dilantik sebagai pentadbir,” kata bekas menteri undang-undang itu.

"Mengapa ketua setiausaha itu perlu menjadi polis moral untuk gangguan seksual? Ia tidak logik," tegasnya.

Pelantikan dan fungsi Pentadbir Khas Anti Gangguan Seksual diperincikan di bawah Seksyen 24 dan Seksyen 25(1), Seksyen 25(2) Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual yang dibahaskan untuk bacaan kali kedua hari ini.

Dalam menyokong rang undang-undang itu, Azalina memetik mekanisme sedia ada di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan melihat cadangan fungsi pentadbir tunggal, termasuk menggalakkan program pencegahan dan kesedaran, dijalankan oleh sebuah jawatankuasa.

"Adalah lebih baik, lebih sesuai dan adil untuk perkara seperti itu dirujuk kepada jawatankuasa," katanya.

Azalina juga bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh bahawa ahli jawatankuasa harus terdiri daripada individu daripada pelbagai latar belakang etnik, memastikan keputusan yang dibuat akan mengambil kira isu, termasuk definisi berbeza tentang faktor yang menyumbang kepada gangguan seksual.

“Sebab itu bagi saya, saya rasa kuasa menteri (di bawah Seksyen 25 dan Seksyen 25) boleh diperluaskan,” katanya.

Azalina menambah, seorang menteri boleh dipertanggungjawabkan di Dewan Rakyat, tidak seperti jika ketua setiausaha kementerian mengambil peranan sebagai pentadbir.

Yeoh dan ahli parlimen lain yang membahaskan rang undang-undang itu semalam telah menyentuh peranan pentadbir, menekankan pentingnya tiada diskriminasi berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa gangguan seksual atau penampilan mereka.

Dalam ucapannya, Azalina juga menyatakan bahawa peruntukan semasa akan menyaksikan penubuhan tribunal Anti Gangguan Seksual untuk penyelesaian sivil, tetapi tiada badan sedemikian akan dibentuk di peringkat negeri atau bahagian, tidak seperti tribunal pengguna atau pembeli rumah yang ada ketika ini.

Dia menegaskan bahawa cadangan semasa boleh menimbulkan cabaran kepada mangsa yang tidak dapat mengakses tribunal, termasuk individu yang mengalami masalah kesihatan atau mental.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS