PARLIMEN | Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) hari ini mencetuskan kekecohan di dalam dewan selepas didakwa mengeluarkan kata-kata menghina terhadap ahli Parlimen wanita DAP.
Terdahulu Tajuddin kelihatan tidak berpuas hati dengan apabila dia dan dua lagi ahli parlimen Umno dikatakan tidak sensitif terhadap maruah wanita ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Antigangguan Seksual semalam.
Dua lagi ahli parlimen yang dibabitkan ialah Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).
Kata Tajuddin mereka dilontarkan dengan kata-kata yang memburukkan imej mereka kononnya tidak menghormati wanita.
“Saya nak bagitahu speaker, mereka (pembangkang) tak kenal ni siapa tiga orang, bagaimana kami menjaga maruah wanita, bagaimana kami menolong wanita," katanya,
Untuk membuktikan penegasan itu, Tajuddin meminta pihak yang tidak setuju dengannya bertanya sendiri kepada Wanita Umno bagaimana mereka dilayan.
“Yang kita ni masalahnya beberapa wanita DAP, perangai tak senonoh, mulut cabul,” katanya.
Minta perbahasan diteruskan
Kenyataan bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu mendorong SN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dan mendesak ia ditarik balik.
Rayer juga menggesa Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon mengarahkan Tajuddin berbuat demikian. Bagaimanapun Mohd Rashid tidak mengendahkan permintaan Rayer.
“Saya cakap betul speaker, I have my own right to speak (saya ada hak sendiri untuk bercakap), kenapa dia nak bantah?” soal Tajuddin.
Tambah Tajuddin kenyataan dibuat pembangkang ke atas dirinya dan dua lagi ahli parlimen Umno itu bertujuan untuk merosakkan imej mereka.
"Hey, we have won the election-lah! All the time-lah. And most of the wanita support us (kami dah menang pilihan rayalah. Sepanjang masa, dan kebanyakan wanita menyokong kami),” kata Tajuddin lagi.
Mohd Rashid yang dilihat cuba untuk menenangkan keadaan kemudian meminta supaya perbahasan RUU tersebut diteruskan.
Rayer kemudian mempersoalkan tindakan Dewan Rakyat yang dianggapnya berat sebelah terhadap Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada Isnin lalu ketika dia membangkitkan isu kedaulatan negara dan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh Tajuddin hari ini.
“Adakah timbalan speaker akan benarkan perkara ini diulangi?” soalnya.
Tajuddin kemudian mencelah dengan menjerit: “Some of you (Sesetengah kamu) mulut jahat, some of you! I don’t want to named name (Saya tak mahu sebutkan nama) - kaki cucuk, kaki menghasut, kaki mencabar, cabar speaker, cabar PM.” katanya yang kelihatan seperti hilangan kawalan diri.
Tidak puas hati dengan soalan Rayer yang bertanya adakah Mohd Rashid masih tidak berani untuk meminta Tajuddin keluar dari Dewan, Tajuddin kemudian membalas: “Tengok, he’s trying to provoke you (dia cuba memprovokasi kamu). Alamak… we fight the election-lah we see who’ll win (kita berlawan dalam pilihan rayalah, tengok siapa menang).
Kekecohan itu belanjutan beberapa lama sehingga ada sejumlah ahli parlimen PH seperti Hannah Yeoh (PH-Segambut), Teo Nie Ching (PH-Kulai), Steven Sim (PH-Bukit Mertajam), Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) dan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berdiri untuk menggesa Mohd Rashid mengambil tindakan terhadap Tajuddin.
Sementara itu Kasthuri - melalui ciapan di Twitter - mendakwa Tajuddin menyebut perkataan mencarut ketika perbalahan berlaku.
Kata Kasthuri, walaupun mikrofon Tajuddin dipadamkan ketika itu ada beberapa ahli parlimen mendengar wakil rakyat Umno itu menyebut perkataan “p***mak dua kali.