Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengumumkan rancangan mereka untuk mengadakan Hari Peradaban Melayu pada 30 Julai ini selepas mereka terkedu dengan sambutan diberi terhadap festival Bon Odori.
Cadangan itu disuarakan Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya yang menyatakan rasa hariannya dengan laporan 35,000 orang meraikan festival di Shah Alam baru-baru ini.
Katanya rata-rata peserta festival itu adalah orang Melayu Islam walaupun ada pihak berkuasa agama dan mufti tertentu melarangnya.
"Ini berdasarkan hasil kajian mereka yang mendapati ada unsur-unsur syirik di belakangnya.
"Lebih menghairankan ada pemimpin beragama Islam bersungguh-sungguh merayakan dan mempromosinya (Bon Odori) konon atas semangat kebudayaan, perpaduan dan keharmonian.
"Padahal ia tidak ada kena mengena dengan mana-mana kaum di Malaysia ini. Apa-apa pun, pelbagai pandangan diberikan banyak pihak, terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada pandangan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang sebelum ini mencadangkan supaya acara Bon Odori di Malaysia diberi nama baru.
Menurutnya, dengan berbuat demikian akan terelak sebarang kekeliruan mengenai asal usul acara itu yang mengandungi pemujaan dan khurafat.
"Kalau boleh, acara itu perlu diberi nama baru atau nama tambahan, contohnya, ia boleh digelar sebagai pesta budaya Jepun," katanya.
Baca 'Sultan titah jangan sekat Bon Odori'
Bon Odori ialah acara tarian tahunan yang diraikan sempena perayaan Bon Jepun. Sepanjang tiga dekad lalu, acara tersebut turut diraikan di Malaysia di beberapa lokasi.
Aminuddin berkata, dia ada berbincang dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam untuk menganjurkan satu hari bagi meraikan peradaban bangsa Melayu.
"Sahabat-sahabat daripada persatuan silat, seni serta budaya pun teruja untuk menjayakannya bersama.
"Tarikh yang cantik ialah 1 Muharram 1444 yang jatuh pada 30 Julai 2022, iaitu hujung minggu hadapan. Inilah tarikh yang kita pilih untuk Hari Peradaban Melayu kali ini," katanya.
Tambahnya, penganjuran itu juga dicadangankan sebagai program tahunan.
"Akan ada pameran, rerurai jualan, persembahan serta pertunjukan yang sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa bersama.
"Jika Bon Odori disifatkan sebagai festival kebudayaan yang 'penting' walaupun tidak ada kena mengena dengan kita, maka saya kira tiada sebab untuk tidak mememeriahkan Hari Peradaban Melayu kali pertama ini," katanya.