Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Perlu pendekatan baru segera tingkatkan pengeluaran jagung

PARLIMEN | Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata kos semasa untuk mengimport tanaman jagung antara RM1,700 hingga RM1,800 per tan, iaitu meningkat dari antara RM600 hingga RM800 per tan.

“Sebab itu ada urgency (keperluan mendesak) untuk kita mengolah pendekatan baru bagi memastikan jagung boleh dikeluarkan secara domestik melalui dasar penggalakan dan juga intervensi yang perlu dilakukan oleh kerajaan melalui Mafi (Kementerian Makanan dan Industri Makanan) dan juga jabatan,” kata ahli parlimen Beluran itu ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Kos kenaikan makanan haiwan telah dikaitkan sebagai faktor penyumbang peningkatan harga ayam dan gangguan bekalan keseluruhan.

Mohd Redzuan MD Yusof (PN-Alor Gajah) dalam soalan tambahannya telah memetik jumlah kos import makanan sebanyak RM73 bilion, sementara data rasmi dari Jabatan Statistik mencatatkan jumlah kos import makanan sebanyak RM55.5 bilion pada tahun 2020 sementara kos eksport hanya RM33.8 bilion.

Kiandee tidak menjawab soalan Redzuan mengenai sasaran pengurangan tertentu kepada kos import makanan dan sebaliknya menjelaskan berkenaan strategi keseluruhan yang digunakan untuk meningkatkan status keselamatan makanan Malaysia.

Dalam respons kepada Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), Kiandee memetik fungsi pelbagai jawatankuasa, termasuk pasukan petugas khas Jihad untuk menangani inflasi, sebagai sebahagian daripada langkah jangka masa pendek untuk menangani kos bekalan yang semakin meningkat.

Bernas bantu tentukan bekalan beras negara

Kiandee juga mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak menarik balik keputusan memperluaskan monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengenai import beras selama 10 tahun lagi.

“Bernas dipertanggungjawabkan bagi menentukan bekalan beras dalam negara sentiasa dalam keadaan yang stabil.

“Konsesi Bernas bukanlah satu konsesi yang berat sebelah,” katanya sebagai respons balas terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Kiandee menegaskan bahawa Bernas juga ditugaskan untuk memenuhi 10 tanggungjawab, termasuk untuk membantu petani padi dalam meningkatkan hasil tanaman mereka.

Anwar terdahulu berkata bahawa langkah kerajaan untuk memperluaskan konsesi Bernas adalah cacat dan menafikan petani miskin keuntungan yang diperoleh oleh perniagaan yang kaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS