Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banyak jalan masuk ke Kelantan rosak tidak dibaiki ikut keperluan

DUN KELANTAN | Kerajaan negeri Kelantan mendedahkan terdapat banyak kerosakan jalan raya membabitkan laluan utama masuk ke Kelantan, bagaimanapun tidak diperbaiki mengikut keperluan yang dikenal pasti.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Azami Mohd Nor berkata terdapat tiga jalan utama yang menjadi pintu masuk ke Kelantan iaitu jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (FT003), jalan Gua Musang-Kota Bharu (FT008) dan jalan Gerik-Jeli (FT004).

Katanya, berdasarkan pemeriksaan dianggarkan keperluan peruntukan untuk menyelenggara jalan-jalan persekutuan sepanjang 1400 kilometer (km) adalah berjumlah RM350 juta setahun berbanding kelulusan peruntukan sekitar RM75 juta setahun.

"Pada Tahun 2021, jalan masuk ke Kelantan melalui Gua Musang, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mengenal pasti 20 lokasi kerosakan jalan dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM16.7 juta tetapi kelulusan yang diperoleh hanya melibatkan empat lokasi dengan kos sebanyak RM 2.85 juta.

"Jalan masuk ke Kelantan melalui Gerik iaitu sejumlah 10 lokasi kerosakan dengan kos sebanyak RM8.33 juta dipohon tetapi kelulusan yang diperolehi hanyalah melibatkan tujuh lokasi dengan jumlah peruntukan RM 5.76 juta.

"Bagi jalan masuk ke Kelantan melalui Terengganu sejumlah enam lokasi kerosakan dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM3.75 juta dipohon tetapi kelulusan diperolehi hanya melibatkan sejumlah empat lokasi dengan jumlah perntukan sebanyak RM 2.53 juta," katanya pada sesi soal-jawab lisan sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Azami (PAS-Kadok) berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan tambahan dikemukakan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berhubung perancangan kerajaan negeri untuk memperbaiki jalan-jalan di pintu masuk ke Kelantan.

Sementara itu Azami berkata bagi tahun 2022 jalan masuk ke Kelantan melalui Gua Musang, JKR Kelantan mengenalpasti 16 lokasi kerosakan jalan dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM 14.90 juta tetapi kelulusan yang diperolehi hanya melibatkan tiga lokasi dengan kos sebanyak RM 2.55 juta.

"Jalan masuk ke Kelantan melalui Gerik pula sejumlah lapan lokasi kerosakan dengan kos sebanyak RM8 juta telah dipohon tetapi kelulusan yang diperolehi hanyalah melibatkan lima lokasi dengan jumlah peruntukan RM 4.7 juta.

"Bagi jalan masuk ke Kelantan melalui Terengganu didapati tujuh lokasi kerosakan dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM 5.75 juta dipohon tetapi kelulusan diperolehi hanya melibatkan sejumlah satu lokasi dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 0.85 juta," jelasnya.

Tambah Azami, secara umumnya masih lagi terdapat 22 lokasi pembaikan jalan dengan kos sebanyak RM20.55Juta yang perlu di baiki untuk membolehkan jalan masuk utama ke Kelantan berada dalam keadaan sempurna.

Justeru menurutnya, kerajaan negeri berharap dlperuntukan ini dapat diluluskan oleh pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia.

"Tumpuan juga diberi kepada jalan-jalan sedia ada yang terlibat dengan projek naik taraf atau pembesaran terutamanya projek lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang dikenal pasti penyumbang kepada kerosakan jalan di Gua Musang yang telah menjadi viral.

"Sehubungan itu, bagi pihak JKR Kelantan strategi untuk memberi fokus kepada laluan utama masuk ke Kelantan dirancang. Bagaimanapun perlaksanaan sebenar bagi kerja-kerja penyelenggaraan ini tertakluk kepada kelulusan peruntukan berdasarkan keupayaan kewangan kerajaan," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS