mk-logo
Berita
RUU Antigangguan Seksual: 'Jangan ada diskriminasi berdasarkan pemakaian'

Persoalan berkenaan diskriminasi terhadap mangsa gangguan seksual berdasarkan pemakaian mereka antara perkara yang dibangkitkan ahli parlimen ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 di Dewan Rakyat, semalam.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) membangkitkan peranan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat selaku pentadbir khas antigangguan seksual untuk memastikan tiada tindakan menghukum secara tidak wajar terhadap mangsa berdasarkan pemakaian mereka.

Menurut Yeoh, ia boleh dilakukan menerusi notis yang dikeluarkan pentadbir bagi membangkitkan kesedaran berkenaan gangguan seksual dan langkah pencegahannya.

"Saya berharap apa-apa notis yang dikeluarkan tidak bersifat menghukum cara orang berpakaian.

"Kita kerap lihat notis di agensi kerajaan menyatakan pemakaian tertentu tidak boleh datang (ke pejabat kerajaan)," katanya.

Dia membangkitkan kes di mana ketika pengadu membuat laporan, penguatkuasa undang-undang akan melihat cara mereka berpakaian dan memarahi mereka.

"Jadi kita nak pastikan notis tidak menghukum pengadu," katanya lagi.

Semua kumpulan perlu dilindungi

Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) pula berkata sementara terdapat cara berpakaian mengikut Islam, agama turut mengajar penganutnya untuk menjaga pandangan mereka.

"Ini menunjukkan tidak kisah jika di depan (individu) berpakaian atau tidak berpakaian, yang penting semua orang kena menjaga matanya dahulu.

"Kemudian baru bercakap tentang mangsa," katanya selepas memetik sepotong ayat daripada surah An-Nur.

Hasanuddin Mohd Yunus

Hasanuddin juga berkata semangat undang-undang juga perlu memastikan tiada kelompok masyarakat yang dibiar menjadi mangsa, termasuk golongan transgender.

"Sebagai MP kita tidak iktiraf kumpulan mak nyah dan seumpamanya...tetapi mereka wujud di sekeliling kita dan terkesan dengan gangguan seksual.

"Kita selaku MP perlu memikirkan bagaimana untuk melindungi, agar tiada golongan yang teraniaya," katanya lagi.

Dalam perbahasannya, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) membangkitkan beberapa persoalan, antaranya sama ada pemakaian yang terdedah boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan seksual atau tidak.

Dia juga menegaskan orang Islam diwajibkan menutup aurat yang menurutnya merupakan satu bentuk perlindungan daripada gangguan seksual.

Sementara itu, Teo Nie Ching (PH-Kulai) memetik tiga ahli parlimen yang menurutnya sebelum ini berulangkali membuat kenyataan seksis dan menyinggung orang lain.

Teo mempersoalkan jika tindakan seperti itu boleh dibawa ke Tribunal Antigangguan Seksual.

Tiga ahli parliman yang disebutnya ialah Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Azeez Abdul Rahim (Baling).

"Saya nak tahu selepas tribunal ditubuhkan, kalau masih ada MP yang buat kenyataan seksis di Dewan Rakyat, bolehkah kita bawa mereka ke tribunal?"

Azeez Abdul Rahim

Hanya Azeez yang ada di dewan ketika Teo berkata demikian.

Menjawab kenyataan itu, Azeez berkata kenyataan dibuatnya adalah respons kepada apa yang menurutnya sebagai provokasi dari seorang ahli parlimen perempuan.

"Ada sebabnya, Kulai. Kalau ada MP wanita yang gelar speaker barua, macam mana kalau mereka keluarkan kata-kata kesat yang kasar?

"Jadi kita pun marah dan balas balik," katanya.

Perbahasan RUU Antigangguan Seksual 2021 akan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS