Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan empat keldai akaun
Diterbitkan:  Jul 19, 2022 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Polis menahan empat lelaki dipercayai dijadikan ‘keldai akaun’ oleh sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian, pelaburan tidak wujud dan Macau Scam, dalam siri serbuan di Pulau Pinang serta Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata semua empat lelaki berusia 25 hingga 48 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Barat Daya, hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak seminggu lepas.

"Dua daripada empat lelaki itu ditahan di Batu Maung dan Bukit Mertajam, dekat Balik Pulau manakala dua lagi suspek ditangkap di Taiping dan Bagan Serai, di Perak.

"Berdasarkan siasatan awal, jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa membabitkan empat lelaki itu antara RM13,000 hingga RM400,000 dalam kes yang dilaporkan sejak 2019 hingga tahun ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya empat lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis sedang mengesan seorang saksi dikenali sebagai Azhim Md Ibrahim, 39, beralamat di 346 C, Jalan Madrasah di Jelutong untuk perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi George Town, esok.

Beliau berkata lelaki itu dikehendaki hadir sebagai saksi untuk kes perbicaraan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 esok dan sesiapa yang mengenali dan mengetahui keberadaan lelaki tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Nur Hasanah Jamil menerusi nombor telefon 019-3660848 bagi membantu pihak polis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS