Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih 100 cabang PKR lapor polis terhadap Najib isu Sulu

Lebih 100 ahli PKR membuat laporan polis terhadap Najib Razak pagi ini bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas perdana menteri itu berhubung keputusannya menamatkan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu.

Ini berlaku selepas keputusan itu menyebabkan kumpulan Sulu mengheret Malaysia ke proses timbang tara pada Februari, yang menyaksikan mahkamah Perancis memerintahkan Malaysia membayar pampasan kira-kira AS$15 bilion (kira-kira RM67 bilion).

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu Malaysiakini bahawa sekurang-kurangnya 140 bahagian PKR di seluruh negara telah bersetuju untuk membuat laporan polis di lokasi masing-masing setakat malam tadi.

“Saya telah membuat laporan pada jam 11 pagi tadi, bersama Nik Nazmi (Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad) di balai polis Setiawangsa.

“Setakat ini, 140 cabang telah bersetuju setakat malam tadi untuk mengambil bahagian dalam membuat laporan,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Difahamkan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil juga telah membuat laporannya di balai polis Pantai.

Menurut hantaran yang disiarkan di Facebook Rafizi malam tadi, laporan itu dibuat bagi menggesa polis menyiasat dakwaan kecuaian Najib semasa memegang jawatan dengan menghentikan pembayaran tahunan RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu.

Tindakan itu dikatakan telah meletakkan negara berisiko terpaksa membayar berbilion ringgit sebagai pampasan kepada pewaris Kesultanan Sulu.

Rafizi semasa Kongres Nasional PKR baru-baru ini menggesa semua ahli parti di seluruh negara untuk menentang Najib dan naratif Umno dengan membuat laporan polis setiap kali bekas perdana menteri itu "berbohong" kepada orang ramai.

43 laporan polis di Hulu Selangor

Sementara itu, PKR Hulu Selangor dikatakan telah membuat 43 laporan polis berhubung perkara sama.

Diketuai oleh ketua cabang Dr Sathia Prakash Nadarajan, semua laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Hulu Selangor, petang tadi.

"Kami ingin membuat laporan polis mengenai kecuaian Najib yang telah menyebabkan negara sedang berdepan dengan tuntutan berjumlah sekitar RM67.5 bilion.

"Tuntutan ini bermula ekoran keputusan Najib menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu pada tahun 2013. Najib sekali lagi tidak serius dengan notis tindakan saman diambil oleh waris kesultanan Sulu yang dimulakan pada tahun 2017.

"Maka, kami meminta pihak berkuasa menyiasat Najib di bawah peruntukan kanun jenayah sedia ada (Akta 574) dan Peraturan-Peraturan mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan olehnya," katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS