Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya luluskan ladang Musang King untuk lindungi Gunung Inas’
Diterbitkan:  Jul 19, 2022 1:31 PM
Dikemaskini: Jul 20, 2022 2:01 PM

Kerajaan Kedah meluluskan penanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling, Kedah, bagi membolehkan kawasan itu dilindungi dan dibaik pulih setelah berlaku kegiatan pembalakan, kata Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Saya tegaskan, kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut di samping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal,” kata mantan menteri besar Kedah itu.

Katanya kegiatan pembalakan telah berlaku di situ dan penanaman durian diharap melindunginya supaya  tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar. 

“Kelulusan itu, tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan yang baharu kerana aktiviti pembalakan sudah pun berlaku,” katanya.

Ahmad Bashah berkata keputusan itu mengambil kira pelbagai perkara termasuk faktor ekonomi, alam semula jadi dan kepentingan penduduk. 

Minggu lalu, selepas lebih seminggu episod menuding jari, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir mendedahkan penanaman durian di Gunung Inas dibuat ketika pentadbiran Ahmad Bashah.

Mukhriz Mahathir

Mukhriz yang juga presiden Parti Pejuang Tanah Air berkata, kerajaan BN diterajui Ahmad Bashah menukar tanaman pokok getah klon balak kepada durian Musang King.

Mukhriz juga berkata, kawasan hutan simpan kekal Gunung Inas ditukar status kepada ladang pertanian oleh kerajaan BN pada 2007 dan dijenamakan sebagai Ladang Sejahtera oleh kerajaan PAS pada 2008.

Sementara itu dalam kenyataan sebentar tadi, Ahmad Bashah juga berkata  perkara itu tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan. 

“Hentikan menyalah satu sama lain. Teruskan usaha dan ambil tindakan segera,” katanya.

Selepas banjir di Baling

Projek ladang durian Musang King di Gunung Inas dikaitkan dengan tragedi banjir dan kepala air yang mengorbankan tiga nyawa dan memusnahkan 15 rumah, selain ratusan kediaman rosak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS