Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjimatan tidak akan jejaskan aspek keselamatan negara
Diterbitkan:  Jul 19, 2022 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah penjimatan perbelanjaan yang diambil kerajaan tidak akan menjejaskan aspek keselamatan negara.

Beliau menegaskan aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan negara dan projek seperti pembinaan kem atau berkaitan kawalan sempadan tidak akan terjejas.

“(Aspek) keselamatan tidak akan terjejas dengan (penjimatan ini), keselamatan tetap diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN22) dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di Putrajaya hari ini.

Pada Sabtu (16 Julai), dilaporkan kerajaan akan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan memuktamad dan mengeluarkan Waran Sekatan bagi memaklumkan jumlah peruntukan yang akan dikurangkan.

Menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia - Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan, MOF berkata ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik antarabangsa serta kenaikan mendadak harga komoditi global dan makanan telah mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi.

Ismail Sabri berkata perincian lanjut mengenai langkah penjimatan perbelanjaan yang akan dilaksanakan itu akan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS