PARLIMEN | Tanda tanya mengenai keberadaan fatwa mengenai Amanah Haji Hadi dalam portal fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijawab menteri berkaitan hari ini.
Menurut Idris Ahmad Jakim sudah melaksanakan proses menaik taraf portal berkaitan iaitu e-SMAF (Sumber Maklumat al-Ahkam al-Fiqhiyyah) kepada i-FIQH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan portal terbabit menghimpunkan semua pandangan hukum Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) "mengikut kesesuaian dan keutamaan terkini."
"Senarai pandangan hukum dan fatwa-fatwa yang terkandung dalam portal terbaru ini telah disusun semula.
"Hanya pandangan hukum muzakarah yang majoriti difatwakan oleh negeri-negeri saja dimasukkan untuk hebahan kepada masyarakat," katanya.
Idris yang juga senator Dewan Negara itu berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang bertanya mengenai kedudukan kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada April 1981 yang lebih dikenali sebagai Amanat Haji Hadi.
Antara kata-kata diungkapkan Abdul Hadi dalam ceramahnya itu ialah:
"Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan.
"Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka.
"Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
"Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini, kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.
"Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku."
Mahfuz meminta penjelasan sama ada benar atau tidak terdapat negeri yang menfatwakan kenyataan Abdul Hadi di Banggol Peradong, Terengganu itu sebagai sesat.
Mahfuz juga meminta kepastian jika benar fatwa mengenai Amanat Haji Hadi itu sudah dikeluarkan dari portal fatwa Jakim.
Untuk rekod Abdul Hadi ialah ahli parlimen Marang yang kini berjawatan duta khas perdana menteri yang berjawatan menteri.
Kata Idris, berdasarkan semakan Jakim, Amanat Haji Hadi hanya difatwakan sesat oleh kerajaan Melaka.
Isu berkenaan mendapat perhatian Jun tahun lalu apabila ada pengguna media sosial membangkitkan persoalan sama ada fatwa berkenaan sudah dipadamkan dari portal Jakim atau tidak.
Pada 23 Jun 2021 bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof kemudian mendesak Jakim dan Abdul Hadi memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai isu berkenaan.
"Tidak boleh jadikan alasan hanya kerana dia (Abdul Hadi) kini sebahagian daripada kerajaan maka fatwa itu tidak sah (lagi)," katanya kepada Malaysiakini.