Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan buka pengambilan pekerja asing dari 15 negara

Kerajaan akan membuka pengambilan pekerja asing daripada 15 negara dalam tiga sektor ekonomi - pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin membuat pengumuman itu semalam susulan keputusan Indonesia untuk mengenakan pembekuan sementara ke atas pekerjanya ke Malaysia atas dakwaan melanggar syarat dalam memorandum persefahaman pekerja domestik dimeterai baru-baru ini antara kedua-dua negara.

Hamzah berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Sumber Manusia M Saravanan di ibu pejabat polis Bukit Aman selepas mesyuarat jawatankuasa bersama pengurusan migran.

Menurut laman web Kementerian Dalam Negeri, negara sumber pekerja asing itu termasuk Kemboja, Bangladesh, India, Indonesia, Kazakhstan, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Thailand, Turkmenistan dan Uzbekistan.

“Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan KSM turut bersetuju bahawa kertas cadangan dari Construction Labour Exchange Berhad (CLAB) bagi membolehkan agensi berkenaan menguruskan sepenuhnya kemasukan pekerja asing binaan melebihi 100 orang.

“Ia selaras dengan pematuhan kepada Akta 520 seperti memastikan pekerja mempunyai Kad Personel Binaan CIDB dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan " katanya.

Hamzah berkata mesyuarat turut bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan kebenaran pekerja asing berpermit secara jangka pendek bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan kerja di Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.

“Dulu di kawasan ini, kita tidak benarkan pekerja asing tetapi dalam masa terdekat ini, ada projek khusus untuk kita dapatkan mereka daripada luar untuk bantu kerja-kerja tersebut. Hari ini kita benarkan dengan prosedur operasi standard yang akan kita keluarkan," katanya.

Dia berkata mesyuarat turut bersetuju bahawa sebarang permohonan seumpama ini pada masa akan datang iaitu penggajian pekerja asing di kawasan larangan dan tempat larangan akan diputuskan oleh KDN.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Hamzah sebagai berkata,subsektor gudang darat di bawah agensi kawal selia Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) dibuka dan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing berkemahiran rendah.

Bagaimanapun, katanya, elemen kawalan masih diperlukan bagi memastikan keputusan ini tidak menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Selain itu, mesyuarat juga bersetuju bahawa Kementerian Pengangkutan dilantik sebagai Agensi Kawal Selia bagi mengawal selia pengurusan penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat, “ katanya.

Hamzah berkata mesyuarat berkenaan turut bersetuju meluluskan permohonan penggajian pekerja asing untuk industri sarang burung walet oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Selain itu, Hamzah berkata mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan pekerja asing digajikan dalam subsektor barang lusuh dan subsektor dobi.

“Antara lain, kita juga bersetuju untuk membenarkan pekerja asing dari semua 15 negara sumber untuk bekerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Kita juga bersetuju untuk meneliti kesesuaian semua sektor pekerja asing termasuk subsektor yang telah dibekukan,” katanya.

Sementara itu, bagi menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Hamzah berkata mesyuarat juga bersetuju supaya KSM dan Jabatan Imigresen mengadakan perbincangan segera dengan pihak Indonesia.

“Saya ingatkan bahawa kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara dan menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS