Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CEO PenjanaKerjaya antara ditahan dalam siasatan tuntutan palsu
Diterbitkan:  Jul 19, 2022 9:01 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) adalah antara dua pegawai tertingginya yang akan ditahan berhubung dakwaan penyerahan tuntutan palsu dan penyelewengan dana melibatkan skim insentif itu.

Portal berita dalam talian The Star melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang CEO di Kuala Lumpur pada petang Ahad (17 Julai) dan membebaskannya selepas kenyataannya dirakam.

Siasatan penyelewengan dana PenjanaKerjaya berjumlah RM100 juta melibatkan siasatan terhadap 67 syarikat manakala 36 akaun dengan nilai keseluruhan lebih RM7 juta telah dibekukan.

Sementara itu, pengarah syarikat PenjanaKerjaya berusia 41 tahun direman empat hari sehingga 21 Julai, berikutan perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan yang didedahkan sumber.

Portal berita itu melaporkan bahawa kedua-dua mereka dipercayai telah menyerahkan invois dengan butiran palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk program latihan di bawah skim insentif pengambilan pekerja yang diperkenalkan kerajaan pada 2020.

Kerjasama SPRM dan Perkeso

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberi jaminan bahawa tiada sesiapa daripada kementeriannya telah menyalahgunakan kuasa mereka atau terlibat dalam sebarang salah laku berhubung perkara ini.

“Tiada sesiapa daripada kementerian saya atau Perkeso sedang disiasat.

"Ramai pekerja membantu SPRM dalam siasatan dan itu mungkin mengambil masa untuk menyediakan dokumen yang akan membantu siasatan mereka," katanya.

Saravanan menjelaskan bahawa Ops Hire adalah siasatan bersama antara SPRM dan Perkeso yang membayangkan bahawa kementerian itu adalah antara pengadu yang mungkin telah memulakan siasatan yang membawa kepada penubuhan operasi Ops Hire.

Pagi ini SPRM mengesahkan 40 orang telah direman bagi membantu siasatan yang bermula 13 Julai lalu.

Secara berasingan, ketua pegawai komunikasi dan hal ehwal korporat Perkeso Izad Raya mengeluarkan kenyataan semalam untuk menjelaskan laporan bahawa 40 kakitangan Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diangkut semasa serbuan.

Dia berkata tiada serbuan dibuat di KSM atau Perkeso dan kesal kerana tidak dihubungi terlebih dahulu untuk mengesahkan fakta sebelum laporan itu disiarkan.

Izah berkata walaupun laporan itu telah dibetulkan, ia telah tular di media sosial dan aplikasi pemesejan popular WhatsApp.

Berita awal (sebelum pembetulan) telah menyatakan bahawa kakitangan Perkeso telah ditahan oleh SPRM dalam Ops Hire berkaitan tuntutan palsu PenjanaKerjaya.

Izad menegaskan Perkeso sentiasa menjunjung integriti apabila membantu golongan sasar yang memerlukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS