Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil kementerian jumpa duta Indonesia isu pengambilan amah

Wakil Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan bertemu dengan duta Indonesia ke Malaysia hari ini untuk membincangkan penyelesaian kepada isu pengambilan pekerja pembantu rumah, kata menterinya M Saravanan.

Yakin perkara itu boleh diselesaikan dalam tempoh dua hari akan datang, Saravanan berkata penyelesaian yang akan dicadangkan kepada Indonesia adalah "situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak".

Ketika dihubungi, Duta Besar Indonesia Hermono berkata dia akan menunggu perkembangan daripada pegawai kementerian itu.

Minggu lalu, Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja yang memasuki Malaysia berikutan mendapati Sistem Dalam Talian Pembantu Rumah (MOS) yang dikendalikan Jabatan Imigresen masih digunakan dalam pengambilan pekerja domestik dari Indonesia.

Ini adalah pelanggaran langsung syarat dalam memorandum persefahaman (MOU) mengenai pengambilan dan perlindungan pekerja domestik Indonesia yang ditandatangani pada 1 April.

Dakwaan pelanggaran itu berlaku hanya tiga bulan selepas perjanjian dicapai yang disaksikan oleh pemimpin kedua-dua negara - Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Joko Widodo.

Semasa mengumumkan keputusan Indonesia untuk pembekuan itu, Hermono telah menjelaskan bahawa MOS memintas Sistem Satu Saluran yang telah dipersetujui dalam MOU.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS