DUN KELANTAN | Kerajaan Kelantan menjangkakan pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Tunjong, Kota Bharu, akan siap sepenuhnya pada hujung 2025.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, berkata projek berkenaan tergendala sehingga gagal disiapkan mengikut jadual asal kerana kesan pandemik Covid-19.
Katanya dokumen permintaan untuk cadangan (request for proposal - RFP) bagi projek itu dikeluarkan pada 2020 lagi.
"Proses RFP ini sedikit tergendala ekoran pandemik Covid-19 dan kerajaan negeri pada 1 Jun lalu memilih satu pembangunan KB Sentral di atas tanah seluas 6.8 hektar yang merangkumi stesen bas bersepadu, bangunan komersial dan pangsapuri.
"Terminal Stesen Bas Bersepadu ini dijangka siap pada hujung 2025," katanya.
Tambah Azami keseluruhan pembangunan yang lain dijangka akan siap dalam tempoh sembilan tahun.
Dia berkata demikian selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Pada 25 Mei lalu ini Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah menjelaskan KB Sentral yang dirancang kerajaan sebelum ini tergendala kerana tiada kesanggupan di pihak kontraktor.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sudah mencapai persetujuan dengan sebuah syarikat untuk meneruskan pembangunan tersebut dan majlis pelancaran atau pecah tanah bakal berlangsung dalam tempoh sebulan kemudian (Jun).
Bagaimanapun semakan Malaysiakini sehingga kini mendapati majlis pelancaran atau pecah tanah itu belum diadakan setakat ini.
Terdahulu isu pembinaan KB Sentral dibangkitkan selepas keadaan stesen bas sementara di Lembah Sireh, Kota Bharu, tular di media sosial khususnya di kalangan rakyat Kelantan yang turut membandingkan dengan kemudahan sama di negeri-negeri lain.
Malah ada juga pihak yang menggambarkan keadaan stesen bas sementara itu seerti 'kandang lembu' susulan kehadiran kelibat haiwan tersebut di sekitarnya.