Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Junaidi: Wajibkan mengundi tak sihat untuk demokrasi

PARLIMEN | Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pengundian mandatori sebagai langkah yang ‘tidak sihat’ untuk demokrasi negara.

Wan Junaidi mengulas perkara itu di Parlimen hari ini, sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) sama ada kerajaan akan melaksanakan langkah sedemikian atau tidak.

Dia berkata idea itu telah dibincangkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kali.

"Tapi apa yang kita bincang ada implikasi lain. Mungkin di bandar, mengundi wajib ini boleh dilaksanakan, tetapi di luar bandar, yang komunikasi kurang, berdepan lambakan halangan atau kesalahan yang bakal berlaku di mana kurang pengundi yang keluar.

"Walakupun tujuannya baik tapi akhirnya mendatangkan satu perkara yang tak sihat di dalam kalangan masyarakat Malaysia sendiri dalam amalkan demokrasi.

"Dalam keadaan sedemikian ni, walaupun baik tapi kena kaji secara mendalam," katanya.

Pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini menyaksikan peratusan keluar mengundi agak rendah, iaitu 54.92 peratus melibatkan 1,426,573 pengundi.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan pendidikan politik dalam sukatan pelajaran sekolah, Wan Junaidi menjawab bahawa pendekatan kerajaan sekarang adalah dengan mengadakan jelajah di sekolah menengah yang menyasarkan pelajar SPM dan STPM serta institusi pengajian tinggi.

Ini adalah untuk mendidik belia tentang tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Tahun lalu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan untuk mewajibkan mengundi dan mengenakan hukuman kepada yang gagal berbuat demikian.

Awal hari ini, Wan Junaidi juga berkata dia telah membangkitkan idea undi pos dan undi elektronik kepad SPR.

Jelasnya, sebagai contoh, ramai rakyat Malaysia Timur yang bekerja dan tinggal di luar negeri asal mereka - yang menghadapi halangan untuk pulang mengundi di kawasan mereka.

Dua puluh dua negara telah melaksanakan pengundian mandatori, termasuk Thailand, Singapura, Australia, Belgium, dan beberapa negara Amerika Latin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS