Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU antilompat baru lindung MP dibuang parti, lebih tegas pada MP bebas
Diterbitkan:  Jul 18, 2022 1:51 PM
Dikemaskini: Jul 28, 2022 10:34 AM

Draf baru rang undang-undang (RUU) antilompat parti telah memperkenalkan perlindungan kepada ahli parlimen yang dibuang parti.

Ia juga mengandungi peruntukan yang lebih ketat untuk ahli parlimen bebas.

Dalam RUU baru yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan akan dipinda agar ahli parlimen akan kehilangan kerusinya jika mereka keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli.

Namun, ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusinya.

Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.

Bagi ahli parlimen yang menang dengan tiket bebas, mereka yang kemudiannya menyertai parti atau menjadi anggota gabungan akan kehilangan kerusi mereka.

Berikut berdasarkan RUU dan kenyataan penjelasan yang disediakan.

Kenyataan penjelasan RUU itu juga menyatakan ahli parlimen tidak akan hilang kerusi jika parti mereka keluar gabungan sedia ada untuk menyertai gabungan lain atau menubuhkan gabungan baru.

Apabila ahli parlimen hilang kerusi kerana tindakan lompat parti, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Tiada lagi larangan lima tahun

Pindaan ini juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang letak jawatan sebagai ahli parlimen. Ini membolehkan ahli parlimen yang hilang kerusi kerana lompat parti untuk bertanding dalam PRK yang diadakan di kawasan mereka.

Satu lagi pindaan dalam draf baru ini adalah untuk merangka semula klausa yang asalnya membuatkan lompat parti tertakluk kepada sekatan "yang dikenakan undang-undang persekutuan".

Ada pihak berpandangan ia akan membuka ruang kepada kerajaan untuk menyalahgunakan seksyen ini dan merangka undang-undang yang boleh menghukum atau menghilangkan kelayakan seteru politik mereka sebagai ahli parlimen.

RUU ini juga membataskan undang-undang lompat parti di bawah pindaan dalam Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, seperti disebut di atas.

Sementara itu, satu lagi tambahan dalam draf baru ini adalah untuk memasukkan klausa menyatakan Yang di-Pertuan Agong, boleh - dengan kebenaran ketua negeri - untuk menjadikan undang-undang ini terpakai di peringkat negeri menerusi pewartaan.

RUU antilompat parti ini dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS