Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tawaran penyelesaian: ada pihak tahu Jho Low di mana? -soal MP
Diterbitkan:  Jul 18, 2022 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Peguam Negara Idrus Harun kini menjadi perhatian setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan pihaknya ada dihubungi wakil ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho.

Semalam, AGC memaklumkan wakil Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang membuat tawaran penyelesaian berkaitan kes penyelewengan 1MDB, tetapi menolaknya.

AGC tidak memaklumkan nilai tawaran yang dibuat namun laporan The Edge yang memetik sumber menyatakan Jho Low membuat tawaran sebanyak RM1.5 bilion.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata Idrus terikat dari segi perundangan untuk membawa Low ke muka pengadilan.

Namun, katanya, Idrus sebaliknya membenarkan wakil AGC untuk bertemu dengan wakil Low.

Idrus Harun

Justeru, dia berkata Ismail Sabri kini perlu memberi penjelasan berkenaan perkara itu dan jika dia tahu berkenaan perkara itu.

"Adakah AGC menyampaikan kepada wakil Jho Low bahawa kerajaan Malaysia menasihatkan Jho Low supaya menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Malaysia?

"Melainkan Idrus memberikan penjelasan penuh tentang urusan memalukan ini, dia jelas tidak layak untuk menjadi peguam negara.

"Tambahan pula, kesediaan Idrus untuk melakukan perjanjian dengan Jho Low tidak jauh berbeza dengan memaafkan dan membebaskan Jho Low daripada jenayah dan peranannya yang merosakkan sebagai salah satu dalang utama skandal kewangan 1MDB yang terbesar dalam sejarah dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Apandi subahat sembunyi maklumat?

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula berkata, hakikat bahawa pertemuan itu diaturkan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali membangkitkan persoalan sama ada Low benar-benar tidak dapat ditemui pihak berkuasa.

"Adakah ini bermakna segelintir individu berkuasa tahu keberadaan Jho Low? Mengejutkan apabila bekas peguam negara akan mewakili pelarian ini, yang memainkan peranan utama dalam penyelewengan dana 1MDB.

"Jika Apandi tahu di mana untuk mencarinya, bukankah dia bersubahat menyembunyikan maklumat? Mengapa dia tidak disoal siasat?" soalnya dalam kenyataan.

Apandi Ali

Kata Charles lagi, meskipun AG membuat keputusan tepat dengan menolak tawaran itu, dia juga bertanggungjawab untuk memastikan Jho Low dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia.

Selepas laporan The Edge dan kenyataan dari AGC, Apandi semalam mengesahkan dia dihubungi oleh firma Washington DC, Kobre & Kim pada akhir Mei lalu, yang meminta bantuannya untuk mengaturkan pertemuan dengan peguam negara.

Dia berkata tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan pemulangan wang yang didakwa diselewengkan Jho Low daripada 1MDB.

Jho Low didakwa menjadi dalang skandal 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Malaysia dan Amerika Syarikat.

Pada masa ini, keberadaannya masih tidak diketahui umum walaupun dengan usaha polis untuk menjejak dan membawanya pulang. Dia dipercayai berada di China.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS