Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Menanti penegasan isu Laut China Selatan selepas lawatan Wang Yi

ULASAN | Lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia beberapa hari lalu pastinya menjadi perhatian umum khususnya berhubung keseriusan Wisma Putra secara tegas dalam menangani isu keselamatan dan pencerobohan sempadan negara oleh China di Laut China Selatan.

Sehingga kini masih belum ada satu pun kenyataan yang menyakinkan dari Wisma Putra bagi memaklumkan hasil pertemuan berhubung isu pencerobohan sempadan negara.

Laporan media sekadar menyentuh iltizam China dan Malaysia yang mahu meningkatkan kerjasama mendepani inflasi global, sekuriti makanan, ekonomi digital dan keterlibatan syarikat China dalam projek Malaysia.

Tidak terkecuali, Wang Yi memuji keenakan kek keju durian Musang King yang "sedap dan mengagumkan" dihidangkan rakan sejawatnya, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Namun, sehingga artikel ini ditulis, Wisma Putra masih lagi "play safe" dan membisu berkenaan isu yang paling penting iaitu pencerobohan kapal China di perairan Laut China Selatan.

Apakah isu ini langsung tidak disentuh sepanjang lawatan menteri luar China ini? Jika ada, kenapa Wisma Putra masih ketat mengunci mulut? Apakah yang cuba diselindungkan menteri hasil pertemuan itu?

Pencerobohan kapal-kapal China di Laut China Selatan bukan lagi asing buat kita. Laporan Audit Negara 2018 sudah memaklumkan sebanyak 89 kali China menceroboh sempadan perairan di Laut China Selatan dari 2016 sehingga 2019, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaporkan lebih kurang 23 kali pencerobohan berlaku sepanjang tahun 2021.

Apa yang lebih merisaukan, pencerobohan China ini berlaku di Zon Ekonomi Eksklusif negara dan lebih parah, alasan yang diberikan adalah semata-mata bertujuan sebagai lokasi latihan ketenteraan. Kementerian Pertahanan turut mengesahkan keberadaan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLAN) di perairan negara ini sejak 2013 lagi.

Disebabkan itu, intimidasi berterusan kapal maritim China ini seakan menjadi "polis peronda" di Laut China Selatan dan telah mengganggu sumber rezeki para nelayan kecil di perairan Sabah. Turut terkesan, proses pembangunan minyak dan gas baru negara oleh Petronas di lapangan Kasawari berdekatan pesisir perairan Malaysia akibat pencerobohan Agensi Penguatkuasaan Maritim China.

Sedarkah kita semua bahawa China juga gigih membangunkan struktur dengan menambak laut bagi membina pulau buatan lengkap berfasiliti dengan landasan kapal terbang, pelabuhan dan infrastruktur ketenteraan di Laut China Selatan.

Apa yang sedang dan giat dilakukan China di Laut China Selatan ini bukanlah isu picisan, amat mendukacitakan sekiranya kesempatan yang ada oleh Wisma Putra sepanjang lawatan menteri luar China ini berakhir seperti "ziarah sahabat" semata-mata, namun tidak menggunakan peluang ini bagi menyelesaikan kemelut di Laut China Selatan oleh Wisma Putra.

Persoalannya, adakah kerana China ialah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 dan hasil perdagangan dua hala bernilai RM 421 billion tahun lalu, berkembang 27 peratus berbanding 2020 menjadikan Wisma Putra menutup mata kepada isu yang lebih utama yakni tentang masa depan negara dan keselamatan rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak?

Apakah Wisma Putra sedang memperjudi kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan negara? Sedarkah Wisma Putra bahawa pencerobohan China ini boleh ditafsirkan sebagai gerakan untuk menyebarkan pengaruh komunisme di wilayah ini?

Wisma Putra perlu segera menzahirkan pendirian berhubung lawatan menteri luar China khususnya mengenai pencerobohan di Laut China Selatan.

Sudah sampai masa Malaysia bertegas

Felo Kanan Institut Keamanan Global (GPI) London, United Kingdom, Mohd Mizan Aslam, berpendapat Wisma Putra perlu mendesak China agar bertindak mengikut peruntukkan undang-undang antarabangsa sebagaimana yang dipersetujui melalui 'United Nations Convention On The Law Of The Sea' (UNCLOS)

Katanya, sikap China jelas tidak menghormati kedaulatan Malaysia dan seharusnya menjadi peringatan penting buat negara terutamanya dalam menghadapi hegemoni negara republik itu di Laut Cina Selatan.

"Saifuddin mesti bertegas dalam menyatakan pendirian Malaysia berkaitan pencerobohan oleh China ke atas kedaulatan negara.

"China tidak pernah menghormati kedaulatan negara, malah desakkan Malaysia untuk penjelasan kepada setiap pencerobohan yang dilakukan, hanya diabaikan China.

"Negara juga pernah memanggil duta China ke Malaysia bagi menyatakan bantahan dan mendesak penjelasan, tetapi sikap acuh tak acuh China berterusan," jelasnya.

Oleh itu, masa hadapan Laut China Selatan amat bergantung kepada hegemoni China, kejatuhan Amerika secara tidak langsung membawa kebangkitan China dan menjadikan negara tembok besar tersebut semakin berani mencabuli kedaulatan negara-negara jirannya.

Sembilan tanda garis yang dilakukan oleh China tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana agensi antarabangsa kecuali mereka sendiri. Malah China juga mengambilkira nama "Laut Cina Selatan" sebagai alasan untuk menguasai wilayah yang kaya dengan sumber asli ini.

China juga telah membina pengkalan tentera di kepulauan Spratley tanpa menghormati kedaulatan jirannya termasuk Malaysia.

"Maka di sini jelas sekali bahawa China tidak sama sekali ingin bersama Malaysia dalam mencari solusi terbaik untuk wilayah yang mereka pertikaikan ini.

"Sudah sampai masanya Malaysia bertegas dan memberi kata dua kepada China untuk berundur dan mengiktiraf kedaulatan yang dimiliki Malaysia," tambah Mizan lagi.

Sehubungan itu kata Mizan, peluang kehadiran menteri luar China seharusnya menjadi medan menyatakan pendirian dan mendesak China, bukan sekadar lawatan muhibbah dan berakhir tanpa keputusan konkrit.

Kecilnya Malaysia tidak bermakna kita boleh diperkotak katikkan sesuka hati oleh kuasa-kuasa besar, maruah dan kedaulatan Malaysia lebih penting dari segalanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS