Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pindaan perlembagaan Umno: Jangan salahkan ROS - Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Jul 17, 2022 9:44 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua pihak agar tidak menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebaliknya jabatan berkenaan diberikan lagi masa berhubung isu permohonan pindaan perlembagaan parti itu.

Beliau berkata pihaknya juga berharap Barisan Nasional (BN) tidak disalahkan kerana telah mendesak jabatan itu untuk memberikan jawapan permohonan.

“Saya tidak mahu ada tindakan salah menyalahkan, kata ROS tidak dengar cakap BN ke atau sebagainya, jangan sebut begitu.

"Kita berilah lagi masa kepada ROS ...seminggu atau dua lagi,” katanya selepas program Wacana Aspirasi Ummah ‘NGO Membantu Kestabilan’ di Dewan Sri Warisan, Kampung Teras Jernang di Bangi, hari ini.

ROS minta lapan jenis dokumen

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, tambahan masa itu perlu diberikan untuk membolehkan ROS meneliti dokumen tambahan yang diminta daripada Umno.

“Oleh kerana permohonan ROS yang meminta sebanyak lapan jenis dokumen tambahan maka itu dianggap sebagai tambahan masa untuk mereka memberikan maklum balas,” katanya sambil turut menafikan dakwaan beberapa portal yang melaporkan ROS telah meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

Umno sebelum ini membuat permohonan pindaan itu bagi membolehkannya menangguhkan pemilihan kepemimpinannya sehingga enam bulan selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU).

Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei lepas.

Pada 7 Julai lepas, ROS berkata keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan Umno akan diketahui semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS