Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Benarkan AGC temui wakil Jho Low beri mesej salah - Guan Eng
Diterbitkan:  Jul 17, 2022 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta Peguam Negara, Idrus Harun memberi penjelasan mengenai pertemuan antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.

Guan Eng berkata, Idrus harus menjelaskan mengapa AGC dan agensi kerajaan dibenarkan bertemu dengan penjenayah yang dikehendaki itu.

"Tindakan Idris membenarkan AGC untuk bertemu wakil Jho Low adalah salah. Idrus harus menjelaskan mengapa AGC yang sepatutnya memburu Jho Low, sanggup berjumpa dengan wakil Jho Low itu.

"Bukankah Idrus sedang menghantar mesej salah yang penguatkuasa undang-undang tertinggi negara kini sedia berbincang dengan penjenayah yang dikehendaki dan bukannya menegakkan undang-undang tanpa takut dan pilih kasih?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Low dilapor mengatur pertemuan antara peguamnya dengan AGC dan agensi kerajaan yang tidak dinamakan untuk melakukan rundingan penyelesaian.

Laporan menyebut Low pernah menawarkan sebanyak RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun, AGC menolak semua tawaran penyelesaian yang dibuat oleh Jho Low.

Low, adalah dalang utama yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB, dan berdepan pelbagai tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram, selain turut dikehendaki di Amerika Syarikat.

‘Apa hubungan dengan Apandi?’

Pertemuan antara peguam Low dan AGC diatur oleh bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali.

Sementara itu Guan Eng juga menggesa Apandi menjelaskan hubungannya dengan ahli perniagaan itu..

"Jelas sekali Jho Low terus mempunyai pengaruh dalam jabatan kerajaan sehingga dia dapat menghubungi mantan Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali untuk bertindak dan mengatur mesyuarat bersama AGC dan agensi-agensi kerajaan yang tidak diketahui bagi pihak Jho Low.

"Adakah Apandi Ali akan menjelaskan hubungan beliau dengan Jho Low dan adakah terdapat timbal balas dari hubungan tersebut?" soal ahli parlimen Bagan.

Apandi ketika menjadi peguam negara melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam kes 1MDB dan SRC International.

Najib bagaimanapun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC, manakala kes penyelewengan dana 1MDB masih dalam perbicaraan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS