Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini mengulangi janji untuk menurunkan harga minyak petrol sehari selepas dia memegang tampuk kuasa.
Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) itu berkata, dia sedar bahawa janji itu dipermainkan oleh orang ramai kerana Pakatan Harapan (PH) tidak menepatinya semasa mentadbir negara selama 22 bulan.
Bagaimanapun, tegas Anwar, janji itu sebelum tidak ditepati kerana dia bukan perdana menteri ketika itu.
"Sekarang kalau kita berjaya kali ini, janji kita pada rakyat, jika kita berjaya, kita akan tunaikan sepenuhnya kepada rakyat.
"Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok.
“Saya (sebelum ini) bukan PM, macam mana boleh buat. Harga minyak tak boleh diturunkan kerana kerajaan fikir cara menyelamatkan orang di atas, dan kita fikir cara menyelematkan orang di bawah,” katanya pada sidang media selepas tamat Kongres Nasional PKR hari ini.
Anwar mendakwa kerajaan sekarang tidak dapat menangani isu harga minyak kerana mereka yang berkuasa sibuk bekerja untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.
Ini, tambahnya, bertentangan dengan PH yang menumpukan usaha menjaga kebajikan rakyat.
Pada 2008, Anwar berjanji kepada orang ramai bahawa gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara.