Paling Popular
Terkini

Pada hari terakhir kongres, beberapa pemimpin utama PKR yang secara rasmi menamatkan tempoh perkhidmatan mereka bersama parti menggesa semua pihak menghentikan perbalahan semasa sendiri, sebaliknya mengukuhkan perpaduan menjelang kedatangan PRU ke-15.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuzian Salleh, misalnya berkata semua kumpulan dalam PKR mesti bekerjasama sebagai satu pasukan semula jika mahu melihat parti mereka memenangi sokongan rakyat.

Bekas ketua Wanita PKR itu menyatakan hal tersebut sebagai mengulas tindakan sesetengah pemimpin parti peringkat bawah yang didakwanya mengetepikan ketua Wanita tertentu daripada menyertai mesyuarat.

Kata Fuziah sikap tersebut juga berlaku di peringkat pimpinan negeri.

Sikap tersebut, menurutnya, berlaku kerana pemimpin wanita terbabit bukan berada dalam kem pemimpin berkenaan.

"Pemilihan parti dah berakhir. Tidak kira sama ada kita dalam pasukan ini atau pasukan itu (semasa pemilihan parti), tetapi selepas pemilihan selesai, mereka yang kalah (dan menang) mesti bersama-sama membina parti kita.

"Seperti kata Kak Wan (Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail) pada Kongres Wanita PKR, kalau dah tak sayang parti, keluarlah. Kalau nak kekal, bantu bina kekuatan parti," katanya.

Fuziah dilantik sebagai ketua Wanita PKR pada 2020 bagi menggantikan Haniza Mohamed Talha yang dipecat parti kesan daripada Langkah Sheraton.

Jangan ada ketua lain

Selepas ini sayap Wanita PKR akan diketuai Fadhlina Sidek yang memenangi jawatan itu dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Fuziah dalam ucapannya turut menyeru kepimpinan PKR supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap ahli yang menyerang parti secara terbuka dan bukannya melalui saluran yang betul.

Kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, terdapat ahli PKR yang gemar menggunakan ruang awam untuk menyampaikan rungutan mereka terhadap keputusan parti termasuk mengenai isu yang remeh.

"Sikit-sikit buat kenyataan media, sikit-sikit buat Facebook, sikit-sikit buat live (di media sosial). Hebatlah konon...

"Sedar tak sedar, inilah yang menghancurkan parti," katanya.

Justeru Fuziah mencadangkan agar PKR menyenaraihitamkan individu yang suka mendedahkan masalah dalaman parti itu kepada orang luar.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengecam pihak yang gemar membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai isu yang dihadapi parti terbabit, sekali gus memberikan 'peluru' kepada pihak lawan.

“Untuk mengukuhkan parti, kita mesti memberi sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan baru kita. Tak payah cakap itu dan ini dalam WhatsApp sehingga tengah malam selepas ini," katanya.

Bekas naib presiden, Shamsul Iskandar Md Akin, pula memberitahu agar perwakilan serta pemimpin yang baru terpilih untuk mengetepikan pengkhianat di dalam parti.

Pada masa sama dia turut mengingatkan bahawa pemimpin yang terpilih perlu sedar bahawa mereka tidak semestinya sentiasa benar.

"Kita ini berada dalam jemaah di bawah seorang ketua. Jangan ada ketua yang lain, cukup.

“Kita sudah lalui zaman pengkhianatan, jangan biarkan ada pengkhianat 2.0, jangan benarkan ada pengkhianat dalam parti.

“Beri mandat penuh kepada presiden kita dan saf pimpinan untuk pimpin parti ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS