Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apandi: Wakil Jho Low minta saya atur pertemuan dengan pihak M'sia
Diterbitkan:  Jul 16, 2022 6:49 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Bekas peguam negara Apandi Ali mengesahkan dia mengaturkan beberapa pertemuan antara wakil ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, dengan pihak kerajaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Apandi berkata dia dihubungi oleh firma Washington DC, Kobre & Kim pada akhir Mei lalu, yang meminta bantuannya untuk mengaturkan pertemuan dengan peguam negara.

Dia berkata tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan pemulangan wang yang didakwa diselewengkan Jho Low daripada 1MDB.

"Saya aturkan beberapa pertemuan, di mana wakil dari Kobre & Kim datang ke Malaysia.

"Dalam pertemuan itu, yang dibuat di Jabatan Peguam Negara (AGC), kerajaan diwakili oleh peguam negara dan pegawainya, serta pegawai kanan SPRM.

"Selepas pertemuan itu, yang ketika itu nampak positif, ia tiba-tiba dibatalkan oleh AGC atas sebab yang hanya mereka tahu," katanya lagi.

Semalam, laporan The Edge yang memetik sumber antara lain menyatakan kerajaan telah menolak tawaran Jho Low sebanyak RM1.5 bilion untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

Laporan itu juga mendakwa Apandi menjadi wakil bagi pihaknya.

Terdahulu hari ini, AGC mengesahkan Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

Namun, AGC berkata semua tawaran tersebut telah ditolaknya.

Jho Low kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum.

Dihadapkan dengan sejumlah pertuduhan di Malaysia termasuk pengubahan wang haram dan terlibat dalam konspirasi jenayah, Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 mendakwa hanya menjadi perantara dalam urusan 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS