Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOU Indonesia: KP Sumber Manusia beri nasihat salah - Aktivis

Seorang aktivis pekerja asing menyalahkan ketua pengarah Kementerian Sumber Manusia atas kepincangan yang berlaku dalam perjanjian dua hala pekerja domestik antara Malaysia dan Indonesia.

Wakil Migrant Care Alex Ong berkata ketua pengarah kementerian itu, Asri Ab Rahman, perlu dipecat kerana gagal memberi nasihat yang betul kepada menteri mengenai keupayaan Malaysia untuk komited dengan syarat yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MOU) berkenaan.

"Birokrat di kementerian Dalam Negeri dan Sumber Manusia menyebabkan jurang dalam pelaksanaan dan keberkesanan," katanya.

Pada Rabu lalu, Indonesia melaksanakan pembekuan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia, dengan alasan negara ini melanggar syarat MOU bagi pengambilan pekerja domestik.

Duta Besar Indonesia, Hermono, menjelaskan bahawa penggunaan berterusan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) oleh Jabatan Imigresen bagi pengambilan pembantu rumah Indonesia jelas melanggar MOU berkenaan.

Sebagai respons, kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar mengumumkan perbincangan akan diadakan segera dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan perkara itu.

Ong, yang menyokong keputusan Indonesia, juga menegaskan bahawa politik birokrasi di Malaysia, terutamanya antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri, menjadi punca utama kepada kewujudan buruh paksa dan pemerdagangan manusia di negara ini.

“Keputusan kabinet untuk mengalihkan beberapa kuasa daripada Kementerian Dalam Negeri kepada Kementerian Sumber Manusia sebelum menandatangani MOU adalah petunjuk kepada itu,” katanya.

Ong berkata adalah jelas bahawa Kementerian Sumber Manusia memeterai perjanjian dua hala ini tanpa terlebih dahulu tanpa terlebih dahulu berbincang dengan pelbagai agensi, dan ini menyebabkan Indonesia memberikan tamparan hebat kepada Malaysia.

Justeru dia menggesa ahli parlimen untuk membangkitkan isu itu dalam sesi Parlimen akan datang.

Ong berkata sebagai kementerian yang menerajui perjanjian tersebut dan pelaksanaan sebahagian besar termanya, ketua pengarah Sumber Manusia tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya terhadap hasil MOU berkenaan atau membiarkan amalan buruk berterusan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS