Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
104 notis kesalahan berkaitan rokok dikeluarkan di Melaka

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan 104 notis kesalahan dengan kompaun berjumlah RM29,750 melibatkan pelbagai kesalahan menerusi Operasi Mega Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau yang dijalankan di negeri itu pada dua hari lepas dan semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata operasi disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka itu turut memeriksa 35 premis penjualan hasil tembakau.

"Tujuh premis dikesan menjual rokok di bawah harga minimum, rokok seludup atau 'tidak bayar cukai’ dengan lapan notis kesalahan bernilai RM4,000 manakala 155 peket rokok pelbagai jenis bernilai RM1,542 turut disita.

"Kita juga mendapati ada premis yang menjual rokok kepada pelajar sekolah dan remaja bawah umur 18 tahun selain menjual rokok di bawah harga minimum walaupun telah diberi notis berulang kali," katanya pada sidang media di Ayer Keroh, semalam.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Dr Muhamad Akmal berkata dalam operasi itu, JKDM Melaka turut mengeluarkan dua notis kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1976.

Beliau berkata operasi turut memeriksa 180 premis termasuk kedai runcit, restoran dan kedai makan selain 66 individu turut dikompaun kerana merokok di kawasan larangan merokok.

"Antara kesalahan lain ialah kegagalan pemilik premis mempamerkan tanda larangan merokok, menjual rokok secara sebatang-sebatang dari kotak, menjual peket atau karton rokok yang tidak dicetak dengan imej amaran kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan perokok tegar supaya mengambil sikap peduli terhadap larangan menghisap rokok di tempat awam yang telah diwartakan dan masih berkuat kuasa termasuk lima Zon Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS