Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR tanding semua kerusi dimenangi, harapan jadi parti terkuat
Diterbitkan:  Jul 15, 2022 11:01 AM
Dikemaskini: 7:32 AM

Kepimpinan PKR memutuskan parti itu akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang di semua kerusi yang dimenanginya, kata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Berucap pada majlis pelancaran Kongres Pemuda PKR pagi ini, dia berkata PKR juga akan berunding dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi untuk bertanding.

“Temurapat pimpinan telah bersetuju PKR akan terus memperkukuhkan parti, memperkuat Pakatan Harapan dan menjana kekuatan baru

“Temurapat bersetuju bahawa PKR akan bertanding semula di semua kerusi parlimen dan dewan negeri yang telah kita menangi.

“Kita juga bersetuju terus berunding dengan parti-parti sahabat di dalam Pakatan Harapan (PH) bertujuan menambah lagi kerusi untuk PKR tandingi dengan harapan muncul sebagai parti terbesar dan terkuat,” katanya kepada perwakilan.

Saifuddin berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Kongres Nasional Pemuda PKR 2021/2022, bertempat di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam.

Pada PRU-14 2018, PKR menang di 48 kerusi Parlimen dan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bercakap dengan pemberita kemudian, Saifuddin berkata kepimpinan PKR ada jumlah kerusi tambahan khusus yang disasarkan tetapi enggan memberi perincian lanjut, kecuali ia termasuk kerusi yang PKR tewas dengan majoriti kecil pada PRU lalu.

"PRU kali ini tak akan ada satu parti atau gabungan yang akan menang mudah.

"Bagaimana PKR nak posisikan dirinya? Kita nak jadi kuat, tapi itu tetap tak bolehkan PKR tubuh (kerajaan sendiri).

"Jadi tugas sekarang adalah menang 48 kerusi Parlimen (yang dimenangi pada PRU14) dan tambah. Kita tengok kerusi yang kita kalah dulu tapi dengan majoriti (pihak menang) yang boleh kami tampung.

"Kami ada bilangan kerusi tetapi saya tak boleh dahului rundingan dengan parti-parti sahabat," katanya.

Disiplin parti

Dalam ucapannya kepada delegasi Pemuda PKR, Saifuddin memberi peringatan panjang berkenaan kepentingan disiplin organisasi.

Menyatakan bahawa terdapat kemerosotan dalam soal disiplin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu menegaskan semua keputusan parti dibuat secara kolektif dan perlu dihormati semua ahli.

"Walaupun bila ada keputusan yang tidak sama dengan pandangan kita, kita ada disiplin organisasi di mana ahli perlu patuh kepada keputusan dan pertahankan keputusan.

"Adakah keputusan boleh ditukar? Ya, boleh. (Tapi) ia mesti melalui saluran betul," katanya lagi.

Dia memberikan beberapa keputusan utama yang dibuat parti sebagai contoh, termasuk yang menurutnya menyebabkan perbezaan di kalangan kepimpinan tertinggi.

Antaranya adalah keputusan untuk menyertai PH pada 2015.

"Parti terpecah dua. Separuh kepimpinan bantah, separuh lagi sokong.

"Presiden ketika itu, Wan Azizah Wan Ismail putuskan untuk sertai PH, dan keputusan ini dibuat secara bersama," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS