Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah menangis kerana musuh dalam selimut
Diterbitkan:  Jul 15, 2022 10:15 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Pengerusi Majlis Penasihat PKR  Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pagi ini menyampaikan ucapan kongres wanita dengan tangisan air mata apabila menyentuh konflik dalaman parti yang melibatkan musuh dalam selimut. 

“Kasih saya pada parti tuhan saja yang mengetahui, mesti ada menang dan kalah (dalam) mana-mana pertandingan itu biasa. 

“Saya biasa kalah dalam hidup tapi tak bermaksud saya memusuhi,” katanya yang kelihatan amat sedih dan kecewa dengan konflik dalaman parti itu. 

Meskipun tidak menyebut secara terperinci insiden yang dimaksudkan itu, tetapi kenyataannya itu dibuat selepas terdapat pertikaian berhubung keputusan pemilihan parti baru-baru ini. 

“Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan (parti), tinggallah.. tak apa.  Tapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam. 

“Jangan hancurkan apa yang kita sama-sama bina,” katanya. 

Berlaku perubahan dalam keputusan pemilihan PKR baru-baru ini selepas audit forensik dijalankan berikutan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan ada godam untuk mempengaruhi keputusan pemilihan oleh "pihak tidak bertanggungjawab".

Keputusan rasmi yang diumumkan oleh JPP PKR pada 4 Julai lalu telah membangkitkan rasa tidak puas hati sesetengah calon-calon, kerana perbezaan jumlah undi yang tipis antara pemenang dan pemenang sebelumnya.

Salah satunya merupakan jawatan ketua wanita pusat yang sebelum ini dimenangi oleh Adun Batu Tiga Rodziah Ismail tetapi keputusan rasmi menunjukkan dia tewas di tangan senator Fadhlina Sidek.

Sehari selepas itu, Rodziah menghantar permintaan rasmi kepada JPP PKR untuk mendapatkan penjelasan tentang bagaimana keputusan itu telah dibatalkan.

Wan Azizah dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa sama ada menang atau kalah, seseorang itu perlu mengekalkan kesopanan dan adab kerana ia merupakan adat dalam sesuatu pertandingan.

“Kalah atau menang kita kena ingt adab, adab seorg kawan dan seorg lawan. adab dan akhlak kesopanan Melayu, kita tak boleh dijual beli

“Kita bukan saja perlu berbudi pada alam tapi pada makhluk, kepada sama-sama kawan…Ini adalah sebahagian daripada kita sebagai seorang insan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS